Berita

Pakistan: Bas terbakar, 18 orang maut termasuk 8 kanak-kanak

- Diterbit 13 Oktober 2022 10:36 AM MYT

SEKURANG-KURANGNYA 18 orang termasuk lapan kanak-kanak terkorban manakala 28 lagi cedera selepas sebuah bas penumpang terbakar di daerah Jamshoro selatan Pakistan, pada Rabu.

Timbalan Penguasa Polis Wajid Thaheem memberitahu media bahawa bas itu terbakar ketika tiba di kawasan Nooriabad di daerah Jamshoror, Sindh.

Siasatan awal mendapati kebakaran berlaku akibat sistem penghawa dingin kenderaan terbabit mengalami kerosakan.

Bas yang membawa 55 penumpang itu dilaporkan dalam perjalanan dari bandar pelabuhan Karachi ke kawasan Khairpur Nathan Shah di daerah Dadu.

Anggota polis, pasukan penyelamat dan bomba bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran, serta memindahkan mayat dan penumpang yang cedera ke Hospital Universiti Liaquat di Jamshoro.

Seramai sembilan wanita turut maut dalam kemalangan itu manakala angka kematian dikhuatiri meningkat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas