Selebriti

Berbeza budaya dan agama, Tiara Jacquelina tolak tawaran Hollywood

- Diterbit 30 November 2021 9:00 PM MYT

PELAKON dan penerbit popular, Puan Sri Tiara Jacquelina, 54, mendedahkan beza budaya dan agama menjadi sebab dia menolak tawaran berlakon di Hollywood sebelum ini.

Kesempatan untuk meluaskan karier ke peringkat antarabangsa sememangnya menjadi idaman ramai anak seni tempatan tetapi Tiara nekad untuk tidak menerima tawaran terbabit.

“Jika 10 atau 20 tahun lalu, kemungkinan saya sudah mendapat pengalaman berlakon filem Hollywood. Tapi sebenarnya tak semudah yang dibayangkan sebab budaya Asia kita. Saya ‘old fashion’ sikit orangnya.

“Lagipun, tak ramai yang berjaya ke sana… Ini kerana ada beberapa perkara yang kita sangsi, sanggup ke kita nak jayakan kalau dapat tawaran berlakon di Hollywood?

“Banyak halangan sebenarnya, contohnya kalau babak bercium, takkan saya nak tolak dan jawab ‘I don’t do kissing’. Kalau disuruh bercium, macam mana?” katanya.

Tambah Tiara, dia pernah menerima tawaran berlakon dalam dua buah filem Hollywood tetapi dia menolak kerana prinsip yang dipegangnya.

“Sampai sekarang ada orang tanya, bila saya boleh ke Hollywood? Sejujurnya ada ejen panggil saya sertai uji bakat untuk watak orang Asia yang kita tengok sekarang.

“Tahun ini ada, tahun lepas pun pun ada. Tapi saya tak nak beritahu tajuk. Cuma apabila tonton filem itu, saya kata dalam hati, kalau saya pergi uji bakat, mungkin yang bawakan watak itu adalah saya,” katanya.

Tiara berkongsi perkara itu pada sesi Instagram (IG) Live Bersama Penggiat Seni, menerusi topik Aku Pelakon Terbaik.

IG Live Bersama Penggiat Seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem (FINAS) itu diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 10 Disember ini.

Mengangkat topik, Aku Pelakon Terbaik, sesi Live IG itu dikendalikan moderator yang juga dua editor hiburan, Saharudin Mohd Musthafa dan Roslen Fadzil. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas