Selebriti

Berjuta ‘followers’ tapi malas nak promosi… – A Aida sindir siapa tu?

- Diterbit 30 November 2021 9:03 PM MYT

PENERBIT terkenal Datuk A Aida tidak percaya jumlah pengikut atau ‘followers’ Instagram seseorang pelakon menjamin kepada kejayaan sesebuah drama sekaligus menjadi tular.

A Aida berkata, menjadi tugas penerbit untuk ambil tahu kualiti dan kemampuan seseorang pelakon dalam melakonkan sesuatu watak.

“Saya tak pernah percaya jumlah ‘followers’ boleh membuatkan drama itu tular. Kawan saya pernah buat filem, dia ambil pelakon yang ada ‘followers’ berjuta. Tapi kutipan filem tak cecah RM100,000 pun.

“Lagi pula, kalau ada pelakon yang berjuta ‘followers’ tapi malas nak promosi produk sendiri tak guna juga.

“Secara peribadi bagi saya, paling penting kena tahu pelakon itu bagus dan boleh berlakon.

“Kalau stesen TV cadangkan pelakon baharu, saya akan kaji dan ‘study’ dulu pelakon itu dan cara lakonan dia. Kalau rasa tak sampai, saya akan cadangkan nama lain. Sebagai penerbit kena ambil tahu semua ini.

“Macam saya buat drama Andainya Takdir, TV3 cadangkan ambil pelakon kanak-kanak baharu sebab asyik asyik muka Puteri Balqis.

“Jadi saya buat uji bakat. Tapi tak boleh, saya tak nak sebab nanti merosakkan cerita itu. Jadi saya ambil juga Puteri Balqis sebab kita tahu kemampuan dia. Kadang kena ikut tuah dan rezeki juga,” katanya.

A Aida berkongsi perkara itu pada sesi IG Live bersama penggiat seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), menerusi topik How To Make A Drama Go Viral.

Sesi dikendalikan dua wartawan Harian Metro iaitu Sudirman Mohd Tahir dan Najiy Jefri itu diadakan bersempena penganjuran Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang bakal berlangsung pada 10 Disember ini.

Dalam masa sama, A Aida juga pemilik syarikat A Aida Production Sdn Bhd berkata, elemen utama yang membolehkan sesebuah drama itu menjadi tular adalah jalan cerita, pemilihan pelakon, pengarah, skrip dan lagu tema yang bagus.

“Dalam soal pemilihan pelakon, saya akan tentukan. Stesen TV pun kena ikut. Sebab, macam saya kalau baca skrip itu kita sudah boleh tahu siapa pelakon yang boleh lakonkan karakter itu.

“Kalau tak dapat pelakon berkenaan, baharulah kita cari yang lain. Cara saya, untuk setiap watak itu kita senaraikan beberapa orang. Tak dapat pelakon A, cari pelakon B,” ujarnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas