Berita

Bekas ratu cantik dianiaya, terima ugutan bunuh… Peguam mahu polis siasat

BEKAS ratu cantik negara, Shakila Saiful berbincang dengan peguam, Faizal Rahman mengenai kesnya di Setapak, Kuala Lumpur.
- Diterbit 31 Mac 2023 4:49 PM MYT

BEKAS ratu cantik negara yang juga pelakon Shakila Saiful, 27, mengaku telah menerima ugutan bunuh sejak awal tahun ini setelah membuat laporan polis apabila dirinya diperdaya suami dan keluarganya.

Peguamnya, Faizal Rahman berkata, gesaan itu dibuat kerana anak guamnya, Shakila Saiful telah membuat laporan polis pada Januari lalu di Balai Polis Beranang dan terbaharu pada 30 Mac lalu di Ibu Pejabat Polis Polis Dang Wangi terhadap suami dan bapa mentuanya.

BEKAS ratu cantik negara, Shakila Saiful berbincang dengan peguam, Faizal Rahman mengenai kesnya di Setapak, Kuala Lumpur.

Namun, apa yang mengecewakan Shakila apabila kesemua laporan polis tersebut tidak dibuka kertas siasatan dan tiada sebarang keterangan diambil daripada Shakila sehingga hari ini.

“Laporan polis telah dibuat sejak Januari tahun ini dan anak guam saya tidak pernah dipanggil untuk dirakam percakapan sampai sekarang dan hanya di dimaklumkan semalam bahawa kes ini dirujuk kepada majistret,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada Jumaat.

Turut hadir, Shakila atau nama sebenarnya, Nor Shakila Mohammad Saiful Islam.

Faizal turut mempersoalkan atas alasan apa yang menyebabkan kes itu tidak disiasat. Adakah disebabkan Shakila membuat aduan terhadap seseorang yang mempunyai kedudukan dan pengaruh dalam masyarakat?

“Hal ini PDRM (Polis Diraja Malaysia) perlu menjawab dengan ikhlas kerana kami berpandangan dalam keadaan satu aduan telah di buat yang mana disyaki melibatkan suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 312-315 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melibatkan perbuatan menyebabkan berlakunya keguguran dan menghalang seorang bayi dilahirkan hidup.

“Secara jelas, pihak polis mempunyai kuasa untuk menyiasat perkara ini dengan memanggil pengadu dan pihak-pihak yang diadu untuk memberi keterangan dan siasatan dimulakan.

“Isu ini bukannya isu kecil kerana berapa banyak pasangan di negara kita melakukan atau terlibat dengan perbuatan menggugurkan kandungan ini dan adakah PDRM akan menutup kes-kes tersebut yang lain?” soalnya lagi.

“Walaupun saya bertegas untuk tidak mengugurkan kandungan saya, suami saya telah memujuk…” – Shakila Saiful

Faizal menambah, bapa mentua Shakila juga telah memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 17 Februari lalu.

“Pada hari ini (semalam), pihak kami telah memfailkan pembelaan dan kami diarahkan oleh anak guam kami untuk memfailkan juga satu tuntutan balas terhadap suami dan bapa mentua Shakila.

“Tuntutan balas ini antara lain berkenaan dengan konspirasi dalam menyalahgunakan fatwa Pahang & Fatwa Negeri Perlis, misrepresentation & nervous shock di mana kes ini telah ditetapkan untuk sebutan pada 2 Mei depan,” katanya.

Sebelum ini, Shakila mendakwa diperdaya dalam perkahwinannya biarpun sanggup berkorban nyawa menggugurkan kandungan anak luar nikah sebelum ini.

Shakila berkata, dia menggugurkan janin anak kembar berusia sebulan itu pada awal tahun lalu walaupun enggan melakukan perbuatan terkutuk tersebut.

Dia memberitahu, dia melakukan perbuatan itu selepas dipujuk oleh keluarga suami dengan alasan fatwa di dua buah negeri menghalalkannya sebelum dia dan suami berkahwin pada 22 Mei tahun lalu sebagai janji menggugurkan janin itu.

Shakila sebelum ini pernah memenangi gelaran Miss Lumiere International World Borneo 2021, Miss India Worldwide Malaysia 2018 (Miss Beautiful Skin) dan Miss Malaysia Kebaya 2017/2018.
Gelaran lain adalah Ratu Kebaya 2017, Ratu Cheongsam 2017 dan Miss Petite Malaysia World 2016 di tempat ketiga yang juga memegang kategori Miss Popularity. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas