Berita

5 sektor bantu transformasi bandar raya neutral karbon menjelang 2050

PPNK Wangsa Maju akan berperanan sebagai pusat perintis yang penting dalam menerajui lima zon strategik yang lain di Kuala Lumpur termasuk bandar raya Malaysia lain untuk beralih secara progresif kepada neutral karbon menjelang 2050.
- Diterbit 1 April 2023 1:00 AM MYT

PELAN Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 telah mengenal pasti Pusat Pertumbuhan Neutral Karbon (PPNK) Wangsa Maju yang meliputi kawasan seluas 2,649.20 ekar dan bertempat di bahagian utara zon strategik adalah sebagai pusat pertumbuhan utama.

PPNK Wangsa Maju akan berperanan sebagai pusat perintis yang penting dalam menerajui lima zon strategik yang lain di Kuala Lumpur termasuk bandar raya Malaysia lain untuk beralih secara progresif kepada neutral karbon menjelang 2050.

Melalui pelan ini, lima sektor merangkumi 20 inisiatif iaitu tenaga (tiga inisiatif ), pengangkutan (tiga insiatif ), sisa (tiga inisiatif ), kawasan hijau dan kawasan lapang (empat inisiatif ) serta komuniti (tujuh inisiatif ) yang dicadangkan untuk menerajui zon ke arah neutral karbon menjelang 2050 telah dikenal pasti dan ditetapkan.

TENAGA

DALAM konteks neutral karbon, usaha mengurangkan intensiti karbon baki pembekalan tenaga melalui peralihan yang signifikan kepada tenaga bersih dan boleh diperbaharui adalah penting.

Gabungan projek tenaga boleh diperbaharui dan penambahbaikan kecekapan tenaga ini dianggap penting bagi mengeluarkan pertumbuhan masa hadapan Wangsa Maju daripada masalah pelepasan karbon yang meningkat.

Justeru, terdapat tiga inisiatif yang dicadangkan dalam sektor tenaga ini iaitu pemasangan solar pada infrasktruktur merangkumi dua pelaksanaan iaitu pemasangan solar di atas bumbung parkir kereta dan bangunan serta sistem semburan kabus (mist walk) pada laluan pejalan kaki, memasang sistem solar terapung di atas permukaan air dan melaksanakan sistem penyejukan daerah di beberapa kawasan yang dikenal pasti.

SISA

SISA boleh menggandakan impak negatif terhadap iklim tempatan. Sebagai contoh, dengan keadaan saluran perparitan yang tersumbat boleh menyebabkan berlakunya banjir. Oleh itu, pengurusan sisa yang mampan dan holistik adalah dimensi utama dalam kemajuan ke arah neutral karbon.

Berdasarkan Laporan Pelan Tindakan Kuala Lumpur 2040, sisa pepejal merekodkan catatan masih ditahap tinggi di Kuala Lumpur iaitu 1,800 tan sehari termasuk di kawasan Wangsa Maju.  Terdapat tiga inisiatif yang dicadangkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengatasi permasalahan sisa ini iaitu memperkenalkan Anaerobic Digester, membangunkan loji pengkomposan sisa dan menyediakan titik kitar semula sisa.

Menerusi inisiatif ini, diharap sasaran jangka pendek dan jangka panjang untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050 melalui inisiatif yang dinyatakan berjaya dicapai. Namun, inisiatif pengurusan sisa mampan hendaklah dirancang untuk mengurangkan, mengguna semula dan mengitar semula jumlah sisa.

PENGANGKUTAN

PERGERAKAN dan pengangkutan adalah antara kegiatan utama di bandar raya. Dianggarkan, pengangkutan melibatkan lebih daripada satu pertiga berlakunya pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) Kuala Lumpur pada tahun 2010 sekali gus ia menjadi peranan penting dalam peralihan bandar raya ke arah neutral karbon menjelang 2050.

Pusat Pertumbuhan Wangsa Maju menyediakan peluang terbaik untuk memulakan projek rintis pengangkutan neutral karbon di Kuala Lumpur. Terdapat tiga inisiatif yang dicadangkan bagi mengurangkan pencemaran karbon di negara antaranya menambah baik rangkaian pejalan kaki dan berbasikal, menambah baik pengangkutan awam seperti bas Rapid, GoKL, MRT dan sebagainya di samping memberi peluang untuk lebih banyak perniagaan dengan meningkatkan kualiti ruang awam dan ruang pekerjaan baharu.

KOMUNITI

RAKYAT boleh memberi impak yang besar kepada persekitaran tetapi rakyat jugalah yang boleh memainkan peranan aktif dalam kejiranan mereka untuk memacu peralihan iklim kepada neutral karbon serta menambah baik ekonomi dan alam sekitar.

Bagi memastikan misi ini berjaya, rakyat dan masyarakat mestilah mempunyai peranan utama dan berupaya menggunakan sumber yang sesuai untuk memacu peralihan sosioekologi yang sistematik dan berurusan.

Justeru, menerusi sektor komuniti ini, tujuh inisiatif telah dicadangkan untuk membantu Wangsa Maju ke arah bandar raya neutral karbon antaranya membangunkan taman eko, mempromosikan kebun komuniti, memperkenalkan program penjimatan air dan tenaga komuniti
serta mentransformasikan persatuan penduduk sedia ada menjadi komuniti neutral karbon.

Selain itu, sektor ini juga mencadangkan untuk mewujudkan komuniti sifar sisa, memperkukuh komuniti sekolah melalui usaha tertumpu serta memperkenalkan program cabaran neutral karbon di sekolah.

HIJAU

SISTEM ruang hijau dan biru (air) bandar menjadi rangka kerja ekologi untuk kemampanan alam sekitar dan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat. Ia juga bahagian penting dalam strategi pengurusan iklim tempatan kerana pemuliharaan perhutanan dan habitat adalah antara cara mudah serta berkos rendah untuk sekuestrasi karbon dan pengurusan kualiti udara bandar.

Infrastruktur hijau bandar juga merupakan ukuran utama bagi tindak balas terhadap kesan pulau haba bandar melalui pendinginan bersejat dan peneduhan untuk mencipta iklim mikro yang lebih sejuk. Dalam hubungan mencapai neutral karbon, kehijauan bandar menawarkan potensi untuk mengimbangkan apa-apa baki pelepasan GHG yang mungkin ada.

Terdapat empat inisiatif yang dicadangkan seperti melindungi taman dan kawasan lapang sedia ada, mewujudkan Taman Bandar Linear di sepanjang sungai dan rizab laluan air, memperkenalkan taman menegak dan taman atas bumbung serta menganjurkan Program
‘Pembersihan Sungai’.

Secara jelas, cadangan ini bertujuan mengurangkan kesan rumah hijau di Wangsa Maju serta mengurangkan penggunaan tenaga bangunan dengan mewujudkan iklim mikro dalam persekitaran bandar yang membantu mengawal suhu.

Jelaslah, lima sektor merangkumi 20 inisiatif yang dicadangkan DBKL dapat membantu merealisasikan Kuala Lumpur khususnya kawasan Wangsa Maju ke arah sebuah Bandar Neutral Karbon menjelang 2050. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas