Berita

Bantuan PERMAI mampu rangsang ekonomi

- Diterbit 19 Januari 2021 10:14 AM MYT

PAKEJ Bantuan Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumum oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diyakini dapat merangsang kembali ekonomi Negara yang kini terjejas dan melindungi kesejahteraan rakyat.

Menurut Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, pakej PERMAI bernilai RM15 bilion meliputi 22 inisiatif, menunjukkan bahawa kerajaan prihatin terhadap kebajikan rakyat dan komited dalam membantu pengusaha perniagaan kecil dan sederhana.

Beliau berkata, Gerakan bukan sekadar mengalu alukan pengumuman bantuan PERMAI malahan yakin pakej tambahan itu berupaya merangsang ekonomi dan melindungi kesejahteraan rakyat.

“Saya berpendapat pakej bantuan PERMAI tepat masanya dengan menfokuskan pemerkasaan sektor kesihatan, menjaga kebajikan rakyat dan juga kelangsungan perniagaan,” katanya di dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dominic Lau, keputusan kerajaan untuk melanjutkan moratorium di bawah pakej bantuan PERMAI juga sangat tepat kerana mampu untuk mengurangkan beban kewangan ditanggung oleh rakyat ketika ini.

Keputusan diambil itu katanya, dapat membantu kumpulan sasar yang terlibat menstabilkan aliran kewangan mereka.

“Pada masa sama, kerajaan akan menambahbaik Program Subsidi Upah 3.0 (PSU 3.0) yang mana semua majikan beroperasi di dalam tempoh PKP layak memohon tanpa mengambil kira sektor, jadi keputusan ini pastinya membantu mengurangkan masalah pengangguran di negara ini,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas