Berita

Bank of Korea adakan sesi ujian edaran mata wang digital tahun depan

- Diterbit 7 Oktober 2020 3:50 AM MYT

BANK of Korea (BOK) pada Rabu berkata pihaknya merancang untuk mengadakan sesi percubaan pengeluaran dan edaran mata wang digital pada tahun depan, untuk menilai potensi pengenalan mata wang kripto baharu.

Pada Mac tahun ini, BOK mula mengkaji isu undang-undang dan teknologi bagi menilai kemampuan untuk kemungkinan mengeluarkan mata wang itu di bawah skim tiga langkah, lapor agensi berita Yonhap.

Bank itu merancang mewujudkan dan mengaktifkan program perintis mata wang digital tahun depan, menurut pegawai bank.

Menurut BOK langkah berkaitan bukan bermaksud untuk mempersiapkan pengeluaran mata wang kripto yang sebenar, sebaliknya bank sedang membuat persiapan diperlukan “andai ia berlaku.”

Bank pusat global mempercepat penyelidikan mengenai mata wang digital untuk mengatasi penurunan permintaan tunai dan kemunculan mata wang kripto di sektor swasta.

Di China dan Sweden bank pusat agresif dalam mengadakan persiapan untuk mengeluarkan mata wang itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas