Berita

Trump tidak tunjuk sebarang gejala, kata doktor

- Diterbit 7 Oktober 2020 3:47 AM MYT

PRESIDEN Donald Trump dilaporkan tidak mempunyai sebarang gejala, sehari selepas kembali ke Rumah Putih, lapor agensi berita Xinhua, memetik doktornya pada Selasa.

Sebelum ini Presiden Amerika Syarikat (AS) itu menjalani rawatan di hospital selama tiga hari selepas dijangkiti COVID-19.

Doktor di Rumah Putih Sean Conley berkata dalam memo terbarunya, pasukan perubatan berjumpa Trump yang berada dalam kuarantin di kediaman presiden dan masih menerima rawatan.

“Beliau berehat di rumahnya dan hari ini beliau tidak melaporkan sebarang gejala. Pemeriksaan fizikal stabil, dengan tahap oksigen 95-97 peratus,” tulis Conley dalam memo itu. “Secara keseluruhan beliau melaluinya dengan sangat baik.”

Trump di Twitternya pada hari Selasa pagi berkata beliau berasa sihat.

Namun, doktor memberi amaran beliau belum boleh keluar lagi.

Pada usia 74 tahun dan obes, pesakit berisiko tinggi mendapat komplikasi serius kesan daripada COVID-19.

COVID-19 sudah menjangkiti 7.46 juta penduduk dan membunuh lebih 210,000 orang di AS.

Trump mengumumkan beliau dijangkiti virus itu pada 2 Oktober dan kemudian dimasukkan ke hospital tentera. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas