Artikel

OCPD baharu Wangsa Maju

- Diterbit 19 April 2024 3:41 PM MYT

DAERAH Wangsa Maju kini mempunyai Ketua Polis Daerah (OCPD) baharu. Selamat Datang kepada Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail yang mengambil alih jawatan daripada Superintendan Ashari Abu Samah yang bertukar sebagai OCPD Alor Gajah, Melaka.

Terima kasih kepada Ashari yang telah berkhidmat dengan dedikasi bersama Kontinjen Kuala Lumpur sejak Mac 2021. Kawan-kawan Kedai Kopi doakan semoga beliau akan maju jaya berkhidmat di tempat baharu.

Tahniah juga kepada Mohammad Lazim yang sebelum ini Penolong Pengarah Perkhidmatan (Rekod Personel) Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan.

Dengan pengalaman tersebut kawan-kawan Kedai Kopi percaya beliau mampu melaksanakan tugas dengan berkesan mengetuai pasukan polis di sebuah kawasan yang dihuni ramai penduduk. Ini mengambil kira kawasan Parlimen Wangsa Maju (P116) mempunyai kepadatan penduduk tertinggi berbanding kawasan parlimen lain di negara ini.

Kepadatan penduduk ialah 13,475 orang bagi setiap kilometer per segi. Keluasan kawasan Wangsa Maju ialah 16 kilometer per segi. Jumlah penduduk dianggarkan dalam lingkungan 216,000 orang berdasar statistik 2020.

Nisbah jantina ialah (Lelaki/ Perempuan) 116:100. Komposisi kaum pula 61.7 peratus Bumiputera; 30.6 peratus Cina; 7.0 peratus India dan 0.8 peratus lain-lain.

Wangsa Maju ialah sebuah perbandaran utama yang terletak di utara timur Kuala Lumpur, dikelilingi oleh Setapak. Dengan kedudukan yang berhampiran ibu kota menjadikan Wangsa Maju bukan sahaja kawasan kediaman popular tetapi juga pusat pertumbuhan ekonomi yang pesat.

Dengan senario ini, tentu sahaja tugas sebagai OCPD akan berhadapan pelbagai cabaran serta memerlukan kerjasama padu dalam kalangan anggota bagi memastikan Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju beroperasi dengan berkesan.

Kawan-kawan Kedai Kopi berharap orang ramai, khususnya warga Wangsa Maju, akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Mohammad Lazim dan anggotanya selaku mata dan telinga agar polis dapat melaksanakan tugas dengan lancar dan berjaya demi kesejahteraan penduduk.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas