Berita

Ayda Jebat kini sah isteri Nabil Mahir

AYDA dan Nabil kini sah suami isteri
- Diterbit 1 Januari 2021 9:24 AM MYT

DENGAN sekali lafaz, pelakon dan penyanyi popular Ayda Jebat, 29, sah menjadi isteri kepada pengacara Nabil Mahir, 33, di majlis akad nikah mereka di  Masjid Al Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, petang ini.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat dinikahkan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkahwinan dan Pembagunan Keluarga di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (JAWI), Ustaz Rozimi Zamri, dengan disaksikan bapa pihak pengantin lelaki, Datuk Ahmad Mahir Kamarudin dan Wan Jean Basri Wan Othman. 

Ayda Jebat mengaku sudah bersedia melalui alam perkahwinan dan menimang cahaya mata secepat mungkin.

“Ini adalah satu kehidupan baru untuk hidup kami sebagai suami isteri. Saya dan Nabil percaya akan ada banyak dugaan serta cabaran yang bakal ditempuh. 

“Jujurnya kami sudah lama impikan saat ini dan juga sudah bersedia untuk menimang zuriat secepat mungkin, insha-Allah,” katanya yang bersyukur majlis berjalan lancar walaupun dilangsungkan dalam norma baharu ketika negara masih dalam memerangi pandemik COVID-19.

Demi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) majlis nikah hanya dihadiri ahli dari kedua-dua belah keluarga.

“Alhamdulillah, meskipun kini kita berada di dalam norma baharu, syukur majlis pernikahan kami berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. 

“Di sebalik pandemik Covid-19 yang membataskan banyak perkara, kami memilih untuk melangsungkan yang wajib dulu. Terima kasih buat semua yang mendoakan,” katanya.

Pada majlis itu, rombongan pengantin lelaki menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang daripada pengantin perempuan dengan mas kahwin berupa seutas gelang emas. 

Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga. 

Terdahulu, pasangan selebriti ini melangsungkan majlis pertunangan secara online pada 28 April lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas