Berita

Khai Bahar, MAIWP mahu masyarakat ‘Bangkit Semula’ setelah diuji dengan COVID-19

|KHAI Bahar berharap lagu Bangkit Semula boleh menaikkan semangat masyarakat
- Diterbit 1 Januari 2021 12:19 AM MYT

REALITINYA sekarang, ramai yang terkesan dan terjejas akibat penularan wabak COVID-19. 

Atas kesedaran itu, penyanyi popular Khai Bahar muncul dengan lagu terbaharu yang mengajak orang ramai untuk bangun dan kembali bersemangat menerusi lagu Bangkit Semula.

Lagu Bangkit Semula mengisahkan tentang usaha seseorang yang bangkit semula selepas tersungkur dilanda ujian dan musibah. Ianya berkait rapat dengan situasi kita semua yang berhadapan dengan ancaman COVID-19

Apa yang menarik, lagu ciptaan Adi Pawana (Dr. Azrul Azlan) dan lirik bersama Alun Cendana (Gjie Majistret) ini adalah kerjasama Nuansa Kreatif Sdn Bhd, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan 17eleven Music.

Menurut Khai, lagu Bangkit Semula adalah lagu kedua yang dihasilkan melalui kolaborasi dengan institusi agama selepas lagu Ratuku tahun lalu.

“Sebenarnya ini adalah projek amal saya bersama pihak MAIWP yang mana lebih kepada kempen kesedaran dan mengajak masyarakat untuk bangun semula. 

“Projek ini daripada pengurus saya iaitu Allahyarham Abang Fadli ketika dia masih ada. Ketika lagu ini dirakam dia masih ada. Cuma penghasilan video muzik saja dia tidak sempat,” katanya yang seronok menyampaikan lagu yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Kalau bercakap mengenai projek amal saya memang suka untuk terbabit sama. Bagi saya selagi ada peluang dan ruang diberikan, tidak salah untuk kita menyumbang. Tidak semestinya dengan wang ringgit saja.

“Macam saya menggunakan kapasiti sebagai penyanyi untuk menjayakan projek sebegini. Saya cuba buat sesuatu selagi termampu. 

“Semoga saya dan pasukan akan dapat teruskan kerja amal sebegini sampai bila-bila,” katanya. 

KHAI Bahar berharap lagu Bangkit Semula boleh menaikkan semangat masyarakat

Khai yang baru melancarkan single duet Nafas Cinta bersama Aina Abdul berkata, idea untuk bekerjasama dengan MAIWP tercetus selepas kolaborasi bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Perlis (MAIPs).

“Idea untuk berkolaborasi ini tercetus sselepas projek pertama saya bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Perlis (MAIPs) berjaya membantu pembinaan sebuah pusat dialisis di Perlis. 

“Kejayaan itu menjadi inspirasi kepada agensi yang lain untuk berkolaborasi menghasilkan projek khas seperti ini. 

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu kerana siapa sangka projek sebegini memberi banyak manfaat kepada mereka yang memerlukan.

“Harapan saya agar mesej utama lagu ini iaitu usaha untuk bangkit semula dari kegagalan, kemurungan dan kesedihan dapat dihayati oleh masyarakat selain mengajak orang ramai untuk keluar dari kesedihan dan penderitaan melalui zakat dan sedekah,” ujarnya lagi.

Lagu Bangkit Semula sudah boleh distrim di semua pelantar muzik digital bermula 31 Disember dan video muzik Bangkit Semula kini ditayangkan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas