Berita

APM perlu tingkat ketahanan nasional demi kesejahteraan rakyat

AHMAD ZAHID.
- Diterbit 24 Mac 2024 2:40 PM MYT

ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) perlu bergerak ke hadapan dalam meningkatkan ketahanan nasional (national resilience) demi keamanan dan kesejahteraan seluruh rakyat negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata seruan itu selaras dengan tema Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam ke-72 hari ini iaitu “Kesepaduan Teras Perkhidmatan Pertahanan Awam”.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sepanjang tujuh dekad ini, APM telah berkhidmat dengan cemerlang dan penuh dedikasi sebagai barisan hadapan dalam pengurusan bencana dan khidmat kemanusiaan.

“Sebagai menteri yang menjadi peneraju kepada APM, melihat kemajuan organisasi ini adalah sesuatu yang amat membanggakan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Beliau berkata APM bukanlah sesuatu yang baharu buatnya kerana sejak 2015, beliau sudah melihat potensi besar untuk ditelusuri oleh sebuah agensi penting yang semakin dekat di hati masyarakat.

“Teruskan berkhidmat, memberi bakti kepada rakyat Malaysia. Tenaga yang dicurahkan, kami zahirkan rasa terima kasih buat semua warga APM atas segala pengorbanan dan komitmen yang diberikan,” kata Ahmad Zahid. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas