Fokus

Alat pengukur terawal dicipta manusia

PENGUNJUNG berpeluang mempelajari sejarah dan kegunaan alatan yang dipamerkan.
- Diterbit 5 Januari 2024 3:50 PM MYT

GANTANG, cupak, kepul dan leng, pastinya alatan timbang dan sukat ini kedengaran asing terutama buat mereka yang lahir selepas tahun 1970-an dan meskipun kebanyakan peralatan timbang dan sukat itu tidak lagi digunakan tetapi ia masih disimpan untuk dijadikan rujukan serta tatapan generasi hari ini.

Menurut Timbalan Pengarah Muzium Negara, Nor Hanisah Ahmad, penggunaan alat timbang dan sukat tradisional yang mempunyai pelbagai jenis ini sememangnya sinonim dengan masyarakat dahulu terutama untuk aktiviti harian dan perniagaan.

NOR HANISAH (tengah) menunjukkan replika jam suria

Berkongsi secara ringkas mengenai sejarah timbang dan sukat, Nor Hanisah berkata alat pengukur adalah antara alat terawal dicipta oleh manusia sejak zaman purba untuk kegunaan harian sebagai alat ukuran dalam rekaan pakaian, pembinaan tempat, sistem barter, menimbang makanan dan sebagainya.

“Ini menyebabkan orang dahulu mencipta pelbagai kaedah untuk menghasilkan alat timbang dan sukat. Sistem yang seragam bagi berat dan ukuran yang terawal telah dicipta pada abad ke-4 Sebelum Masihi (SM) dan ke-3 SM oleh masyarakat Mesopotamia, Mesir, Lembah Indus dan Elam di Parsi.

“Masyarakat yang tinggal di Tamadun Indus telah menguasai ketepatan dalam mengukur jarak, berat dan masa. Sejarah sistem pengukuran bermula pada Tamadun Indus di mana masih wujud sampel bertarikh seawal 5 SM. Sejak zaman awal lagi masyarakat tamadun ini memberi keutamaan kepada sistem pengukuran yang standard. la dicerminkan melalui seni bina pada tamadun tersebut.

“Pembaris yang diperbuat daripada gading telah digunakan pada Tamadun Lembah Indus sebelum 1500 SM di mana penggalian di Lothal (2400 SM) telah menjumpai sebatang pembaris yang ditentukan ukuran kira-kira 1.6 mm, manakala timbangan dacing pertama yang dijumpai pada abad ke-4 SM telah digali dari tapak arkeologi Gandhara dan Amravati di India,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hanisah berkata bangsa Melayu terdahulu menggunakan konsep sukatan berdasarkan anatomi badan manusia, pemerhatian terhadap kosmologi dan fenomena alam seperti melihat bayang matahari, pasang surut air serta perubahan musim bagi kegiatan pertanian dan perikanan.

“Kemudian ia beralih kepada penggunaan bahan-bahan di sekeliling mereka seperti kepal, leng, kal dan cupak untuk menimbang beras padi bagi skala yang lebih kecil. Kemasukan pedagang Arab telah memperkenalkan unit sukatan gantang dan bahara manakala unit timbangan seperti kati, tahil dan pikul diambil daripada pedagang China.

“Bagi timbangan emas dan perak pula, masyarakat Melayu telah mengambil unit timbangan daripada pedagang India seperti saga, mayam dan bungkal. Apabila pengaruh Inggeris sampai ke alam Melayu, muncul sukatan baharu seperti paun (pound) yang berasal dari istilah Latin iaitu pendre bermaksud timbang dan simbolnya lb iaitu singkatan daripada perkataan libra yang bermaksud dacing.

“Unit gelen (gallon) yang berasal dari istilah Roma iaitu galeta yang bermaksud sebaldi penuh pula digunakan untuk menyukat isi padu cecair manakala unit ekar (acre) daripada perkataan lama Saxon,” jelasnya sesuatu bangsa yang bertamadun mempunyai unit sukatannya yang tersendiri.

Hanisah berkata semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, sistem timbang dan sukat seperti kati, tahil dan bahara telah diperkenalkan dan dipertanggungjawabkan kepada Syahbandar.
“Ketika itu, sistem kati dan tahil digunakan untuk menimbang beras, damar dan bahan rempah ratus seperti lada, bunga cengkih dan lada hitam. Manakala, sistem bahara pula digunakan untuk menimbang emas dan perak,” katanya.

Sistem ukuran baharu

Mengikuti peredaran zaman, Nor Hanisah berkata jika dahulu penggunaan kaedah timbang sukat adalah dari sistem imperal tempatan, ia kemudian berubah kepada sistem metrik yang lebih tepat serta seragam mengikut piawaian sejagat menggunakan sistem unit antarabangsa (SI) bermula 1 Januari 1982.

“Metrologi ditakrifkan sebagai sains dan aktiviti berkaitan pengukuran sama ada mengenai berat, jarak, saiz, sudut, gelombang, getaran dan sebagainya. Pemahaman sains pengukuran yang pelbagai telah membawa kepada pembentukan sistem pengukuran baharu.

“Tujuan ciptaan sistem pengukuran bagi setiap tamadun adalah untuk membolehkan manusia menilai kuantiti dan kandungan sesuatu bahan dengan lebih sistematik. la diperkenalkan bagi menggantikan pelbagai unit timbangan imperial dan timbangan tempatan yang mengelirukan dan tidak seragam.

“Generasi kini sudah tidak mengenal alat timbang dan sukat seperti ling, kunca, nalih, cupak, gantang, pikul, koyan, tahil, kati, aun dan paun. Kini, masyarakat hanya mengenal unit timbang dan sukat seperti milligram, gram, kilogram, mililiter, liter, meter, kilometer dan sebagainya.

“Evolusi peralatan timbang dan sukat juga semakin mudah dan canggih melalui penciptaan peralatan timbang dan sukat digital. Bagaimanapun, sistem pengukuran timbang dan sukat tradisional tetap dipelihara sebagai sejarah pembangunan sosiobudaya daripada ketamadunan manusia yang berharga,” jelasnya.

Kongsinya lagi antara objektif Akta Timbang dan Sukat 1972 adalah untuk mengawal selia alat timbang dan sukat.

Terdahulu, Jabatan Muzium Malaysia mengadakan Pameran Timbang & Sukat: Kearifan Metrologi yang bermula pada 31 Oktober 2023 sehingga 24 Januari 2024 bertempat di Muzium Negara, Kuala Lumpur buat pengunjung merungkai sejarah peralatan berkenaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas