Fokus

Gantang masih relevan

30 koleksi gantang dalam pelbagai jenis saiz, berat dan nilai dipamerkan di perkarangan pameran tersebut.
- Diterbit 5 Januari 2024 4:00 PM MYT

SUATU ketika dahulu, gantang merupakan alat sukatan dan pertukaran yang dijadikan sebagai alat penyukat rasmi. Ia digunakan oleh pedagang-pedagang Arab untuk menjalankan urus niaga aktiviti jual beli beras di tanah Melayu termasuklah di desa.

Lazimnya, gantang diperbuat daripada kayu seperti mana cupak yang biasanya diperbuat daripada tempurung kelapa yang besar. Bagaimanapun, penggunaan gantang ini dikatakan telah digunakan secara meluas oleh masyarakat terdahulu bahkan sehingga kini.

Bagaimanapun, sistem timbang dan sukat melalui ukuran gantang telah berubah sejak negara memperkenalkan sistem metrik pada tahun 1972 di mana ia diguna pakai oleh masyarakat Islam sebagai rujukan untuk membayar zakat dan fidyah berdasarkan nilai semasa dalam unit kilogram (kg) beras yang dijual.

Timbalan Pengarah Muzium Negara merangkap Penyelidik Pameran Timbang dan Sukat, Nor Hanisah Ahmad berkata di era masa kini, gantang tidak lagi digunakan untuk aktiviti perdagangan kerana nilai unit metriknya sudah berubah dan tidak mengalami keseragaman.

“Masa kini, gantang tidak sesuai digunakan untuk berniaga kerana ketidakseragaman nilai dan berlakunya perubahan kepada cara hidup masyarakat.

“Namun begitu, ia masih digunakan di negara sebagai pembayaran fidyah di mana Malaysia mempunyai dua gantang yang diiktiraf dan disahkan oleh Makmal Standard Pengukuran Kebangsaan (MSPK) dan SIRIM.

“Ia adalah Majlis Agama Islam Kelantan dan Majlis Agama Islam Terengganu. Secara asasnya, anggaran sukatan satu gantang jika ditukar ke unit metrik adalah bersamaan 3.6 kg,” katanya.

Jelas Hanisah, penggunaan gantang dalam kalangan masyarakat dahulu amat penting dan bermanfaat malah kehidupan mereka sangat harmoni, tidak bergaduh walaupun nilai gantang tersebut tidak sama.

“Cara hidup masyarakat dahulu menggunakan sistem sara diri, apa yang diperlukan dan berapa banyak yang hendak kita tukar. Namun pertukaran tersebut mestilah berdasarkan persetujuan,” jelasnya gantang digunakan sebagai alat pertukaran sahaja.

Menurut Hanisah, sempena Pameran Timbang dan Sukat, pihaknya menampilkan 30 koleksi gantang dalam pelbagai jenis saiz, berat dan nilai yang diletakkan di tengah-tengah galeri pameran tersebut.

“Tujuan saya meletakkan gantang ini di tengah-tengah sebab saya nak tunjukkan ketidakseragaman 30 gantang yang mana semua tidak sama berat, saiz dan nilai.

“Saya suka tunjukkan gantang kerana ia merupakan sistem terawal dan salah satu bukti bertapaknya Islam. Selain itu, ia juga boleh menambah ilmu pengetahuan kepada masyarakat khususnya generasi muda untuk mengetahui khazanah warisan negara,” ujarnya.

Dalam peribahasa Melayu, penggunaan gantang di dalam ayat menggambarkan tentang maksud tersirat yang hendak ditujukan kepada seseorang misalnya melukut di tepi gantang, menggantang anak ayam, penuh sudah bagi menggantang dan sebagainya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas