Berita

Alamanda beri detik bermakna buat 42 anak yatim

Seramai 42 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Bangi dirai oleh pihak Alamanda.
- Diterbit 17 April 2023 5:26 AM MYT

PUSAT Beli-Belah Alamanda terus menyebarkan kegembiraan Aidilfitri dengan meraikan anak-anak yatim dan kurang bernasib baik dari Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Bangi baru-baru ini.

Seramai 42 kanak-kanak berumur lapan hingga 17 tahun disambut mesra oleh Pengurus Besar Pusat Beli-Belah Alamanda, Pang Sook Fong apabila mereka tiba di perkarangan Centre Court, Pusat Beli-Belah Alamanda.

KANAK-KANAK turut menerima sumbangan berbentuk duit raya.

Pengarah Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brian berkata antara detik yang paling bermakna buat anak-anak kecil ini apabila mereka menerima tajaan kelengkapan Hari Raya.

“Senyuman dan kegirangan jelas terpancar di wajah anak-anak ini apabila mereka diberi peluang untuk memilih sendiri persalinan Aidilfitri termasuk baju serta kasut raya yang baharu.

“Selain tajaan membeli-belah, anak-anak ini dihiburkan dengan persembahan tradisional ‘dikir barat’ dan untuk keceriaan berganda mereka turut menerima sumbangan berbentuk duit raya dan sepasang lagi persalinan baju raya yang ditaja oleh rakan niaga Pusat Beli-Belah Alamanda,” katanya program menyantuni anak-anak yatim ini diakhiri dengan majlis berbuka puasa di sebuah restoran di Pusat Beli-Belah Alamanda.

PERSEMBAHAN dikir barat turut ditampilkan.

Dalam pada itu, Andrew mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan niaga yang turut bersama-sama meraikan anak-anak yatim ini.

“Sebagai sebuah organisasi yang fokus dengan tanggungjawab sosial korporat, adalah suatu yang sinonim bagi kami untuk terus memberi semula kepada masyarakat dan komuniti sekitar. Kami amat berbangga dengan peluang yang diberikan untuk menyantuni Anak-Anak Yatim dan Miskin Rukaiyah pada bulan yang mulia ini.

“Kami berharap sumbangan kecil kami mampu mengukir senyuman di wajah anak-anak yatim ini selain daripada memberi semangat kepada organisasi yang lain untuk turut proaktif dalam penganjuran program seperti ini. Sebagai penutup, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan niaga kami yang turut menyalurkan sumbangan bagi menjayakan program ini,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Turut hadir di majlis ini, penjaga Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Siti Eshah menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam berkongsi keriangan bagi menyambut Aidilfitri pada kali ini.

“Saya sebagai penjaga dan wakil Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Rukaiyah ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tak terhingga terhadap Pusat Beli-Belah Alamanda kerana telah menganjurkan majlis ini untuk anak-anak di rumah Rukaiyah. Kami amat terharu dengan kebersamaan pelbagai pihak di dalam memastikan mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan tidak dilupakan untuk sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas