Berita

Cita Rasa Klasik PICC imbau kenangan di desa

|||||
- Diterbit 16 April 2023 6:00 AM MYT

BERTEMAKAN ‘Cita Rasa Klasik’, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) buat julung kalinya menyediakan pakej berbuka puasa dengan lebih 200 hidangan tradisi dan warisan Melayu bermula 25 Mac sehingga 19 April 2023.

Menurut Sous-chef Bufet Ramadan PICC, Cef Abdul Talib Taha, 51, hidangan menu klasik Melayu ini merupakan kegemaran ramai serta mampu menjadi tarikan utama buat mereka yang menggemari masakan tradisional dan sekali gus mengimbau kenangan berbuka di kampung halaman.

CEF ABDUL TALIB

“Tema ‘Cita Rasa Klasik’ ini diketengahkan kerana setiap kali menjelang Ramadan, pasti ramai warga kota yang mahu berbuka dengan menu-menu kampung ataupun desa.

“Dalam masa sama, PICC mahu mengajak pengunjung untuk datang ke sini dan rasai sendiri keistimewaan masakan kami selain mengubati kerinduan makanan dan suasana kampung memandangkan masingmasing terpaksa berpuasa di bandar atas tuntutan kerja,” ujarnya ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini.

Cef Abdul Talib memberitahu harga RM49 untuk kanak-kanak dan warga emas manakala RM98 bagi dewasa yang ditawarkan pihak PICC adalah berbaloi kerana para pengunjung boleh menikmati pelbagai aneka hidangan tempatan serta barat yang pastinya memukau selera.

“Antara menu utama yang bakal mencuri tumpuan dan wajib untuk dicuba oleh para pengunjung adalah rendang tok, rendang itik, rendang kambing, itik kerutuk, kambing golek berserta dua pilihan sos homemade (sos mint dan lada hitam) serta banyak lagi.

“Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai jenis kuih tradisional, buah-buahan segar, aneka pemanis mulut dan aneka minum yang disediakan,” ujar beliau yang gembira apabila ramai pelanggan dan pengunjung berpuas hati dengan sajian ditawarkan pihaknya.

Lebih istimewa, beliau memaklumkan tetamu yang hadir akan diserikan dengan nyanyian daripada bekas peserta Akademi Fantasia, Rosma AF1 sambil menjamu selera.

“Lagu-lagu yang dimainkan adalah klasik sesuai dengan tema yang diketengahkan,” tambahnya PICC juga menyediakan perkhidmatan katering dan Pakej Rumah Terbuka Hari Raya buat mereka yang berminat.

PELBAGAI KEMUDAHAN DISEDIAKAN

DALAM pada itu, Cef Abdul Talib berkata kaunter zakat fitrah turut dibuka di PICC khusus buat mereka yang ingin lakukan pembayaran.

“Selain itu, kita menyediakan booth mainan untuk kanak-kanak yang datang bersama ibu bapa mereka,” ujar beliau PICC boleh memuatkan sehingga 1,500 orang dalam satu masa selain mempunyai banyak kemudahan antaranya parkir yang strategik dan luas, ruang makan yang luas serta surau berhawa dingin.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, orang ramai boleh hubungi di talian 03-8887 6000 dan 013-529 9496 atau layari media sosial Facebook dan Instagram @putrajayacateringservice. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas