Berita

Kempen Balik Kampung bantu tingkat kesedaran komuniti Putrajaya

FADLUN mengedarkan 'kit' keselamatan kepada orang awam ketika gimik pelancaran Kempen Balik Kampung Dengan Selamat, hari ini.
- Diterbit 17 April 2023 9:00 AM MYT

SELARAS dengan Misi Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030 iaitu ‘Membudayakan Keselamatan Jalan Raya Ke Arah Kesejahteraan Negara’, Bahagian Penguat Kuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya dan Bahagian Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan mengadakan Kempen Balik Kampung Dengan Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri di Kiblat Walk, Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3, Putrajaya.

Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, melalui program ini, para pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan sikap yang berhemah semasa memandu apabila pulang ke kampung halaman masing-masing.

FADLUN

“Sesi advokasi pada kali ini juga memberi penekanan tentang langkah-langkah yang harus dilakukan sebelum pulang ke kampung seperti memeriksa kenderaan; peka dengan keadaan pemanduan; berehat seketika sekiranya mengantuk dan rancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Risalah keselamatan jalan raya turut diberikan kepada orang awam untuk memupuk kesedaran mengenai pentingnya aspek pematuhan peraturan jalan raya di saat peningkatan kadar trafik menjelang musim perayaan ini,” ujar beliau ketika ditemui pemberita hari ini.

Tambah beliau, PPj akan terus melaksanakan program-program berbentuk advokasi sebegini sekali gus memupuk kesedaran kepada pemandu kenderaan supaya sentiasa peka dengan kenderaan yang dipandu di samping menerapkan budaya pemanduan yang selamat ketika berada di jalan raya.

Dalam pada itu, Bahagian Kesihatan Persekitaran PPj turut mengambil kesempatan mengagihkan Kits Cegah Denggi kepada para pengguna jalan raya bagi menggalakkan orang awam untuk meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit sebelum bertolak ke kampung dalam memastikan tiada takungan air yang boleh menjadi punca kepada pembiakan jentik-jentik dan seterusnya dapat mencegah wabak denggi di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Polis (ACP) A. Asmadi Abdul Aziz dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Dr Wong Yau Duenn. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas