Berita

PL selenggara 15,000 pokok usang

PAPAN tanda diletakkan di bahu jalan sementara kerja penebangan pokok sedang dijalankan.
- Diterbit 10 Jun 2023 8:00 AM MYT

DIANGGARKAN sebanyak 15,000 pokok teduhan ameniti melibatkan 131 lokasi di seluruh Labuan telah diselenggara oleh Perbadanan Labuan (PL) bagi memastikan keselamatan penduduk di Pulau Bebas Cukai tersebut terjamin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rithuan Mohd Ismail berkata sebanyak 80 peratus daripada jumlah pokok teduhan ameniti itu telah berusia lebih 10 tahun dan perlu diselenggara secara berkala.

“Pemeriksaan secara berkala terhadap pokok yang telah berusia dan usang telah dijalankan oleh PL sejak Disember tahun lalu.

“PL telah mengenal pasti sebanyak 576 pokok yang mempunyai risiko dan kerja penebangan perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan orang awam,” katanya kepada Wilayahku, baru-baru ini.

Rithuan turut memaklumkan pihaknya juga akan melaksanakan penanaman pokok baharu bagi menggantikan pokok yang berusia dan usang.

“Penanaman pokok baharu seperti yang dicadangkan terdiri daripada jenis berbunga yang bersaiz sederhana tinggi dan tidak berakar banir kerana ia boleh merosakkan infrastruktur awam seperti longkang konkrit dan laluan siar kaki.

“Antara spesies pokok dipilih ialah golden chain, tabebuaia aurea, bottle brush dan red penda,” katanya lagi.

Terdahulu, sebanyak 164 kejadian pokok tumbang dan dahan patah direkodkan sepanjang tahun 2022. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas