Berita

Tommy Thomas berpemikiran dangkal, tak faham fungsi AG, hina institusi perundangan – Idrus

- Diterbit 4 Februari 2021 1:00 PM MYT

PEGUAM Negara Tan Sri Idrus Harun hari ini menegaskan beliau tidak terpengaruh dengan kandungan buku tulisan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang jelas menunjukkan pemikirannya yang dangkal dan tidak memahami fungsi jawatan itu serta menyifatkan ia sebagai suatu penghinaan ketara kepada institusi perundangan.

Beliau berkata penerbitan buku itu telah menimbulkan pelbagai reaksi yang antaranya menyentuh dan mempersoal kebolehcayaan dan kekompetenan pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara (AGC).

Katanya kandungan buku berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’ memberi impak negatif khususnya daripada kaca mata orang luar dan ia secara langsung telah memberi kesan kepada moral dan semangat pegawai di jabatan itu.

“Selain itu, pada hemat saya, ia merupakan suatu penghinaan ketara kepada institusi perundangan kita yang amat kita hormati dan sanjungi,” menurut beliau dalam kenyataan kepada pegawai undang-undang di AGC yang ditandatanganinya.

Idrus berkata beliau sedia maklum mengenai pegawai undang-undang yang sentiasa bekerja di bawah tekanan yang tinggi dalam waktu yang terdesak bagi tugas mencabar sehingga sering bekerja di luar waktu pejabat, termasuk cuti hujung minggu dan mengorbankan masa bersama keluarga semata-mata untuk memberikan keutamaan kepada tugas yang diamanahkan demi kepentingan negara.

Memberi kata-kata semangat kepada para pegawainya, Idrus berkata tidak dapat dinafikan bahawa komitmen dan pengorbanan yang diberikan oleh mereka tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

“Oleh itu, saya ingin menekankan dan memberi jaminan bahawa saya tidak akan terpengaruh dengan kandungan buku tersebut yang jelas menunjukkan pemikiran yang dangkal daripada pengalaman yang singkat oleh orang yang tidak memahami tentang institusi perkhidmatan awam terutamanya Jabatan Peguam Negara dan fungsi Peguam Negara itu sendiri,” katanya.

Idrus juga berkata sebelum dilantik sebagai Peguam Negara, beliau telah berada dalam perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan selama hampir 35 tahun dan telah menjawat jawatan Peguam Cara Negara sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 2014.

Idrus, yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum menyandang jawatan Peguam Negara, berkata oleh itu, beliau tidak mempunyai sebarang keraguan terhadap kebolehan, kemahiran, komitmen dan dedikasi pegawai undang-undang dalam memikul tanggungjawab serta melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan adil dan saksama tanpa gentar atau pilih kasih.

Malah katanya beliau amat berbangga kerana sejak buku itu diterbitkan, AGC telah memperoleh keputusan yang memihak kepada kerajaan dalam beberapa kes berprofil tinggi.

“Ini jelas menunjukkan kebolehan dan keupayaan pegawai undang-undang dalam mengendalikan kes-kes mahkamah adalah setanding dengan malah lebih baik daripada peguam swasta,” katanya.

Beliau berkata sebagai Peguam Negara, adalah menjadi kewajipan utamanya di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai perkara undang-undang bagi melindungi kepentingan negara dan mendaulatkan undang-undang.

Idrus berkata bagi pegawai undang-undang pula, mereka perlu menjalankan tugas berdasarkan rukun undang-undang dengan penuh kesetiaan kepada Raja dan Negara.

“Saya amat berbangga dengan kebolehan, kemahiran, komitmen dan dedikasi pegawai-pegawai saya yang telah menunjukkan prestasi dan pencapaian yang cemerlang dalam menangani isu serta cabaran yang dihadapi oleh negara pada masa kini yang kompleks dan kritikal,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru pegawai undang-undang untuk mengekalkan prestasi kerja yang cemerlang dan terus memacu AGC ke arah kejayaan seiring dengan aspirasi ‘Bertekad Menegakkan Keadilan.’ – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas