BENCANA banjir luar biasa yang melanda ketika ini bukan hanya musibah semata sebaliknya turut membawa hikmah penyatuan apabila rakyat dari pelbagai latar bangsa dan fahaman agama saling membantu tanpa rasa jemu.
Sikap prihatin dan solidariti ditunjukkan menjadi aspirasi bagi berbagai pihak menghulur bantuan termasuk Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 5, Bandar Tun Razak menggembleng keringat ringankan beban mangsa banjir di Hulu Langat.
Usaha hasil kerjasama dengan NGO, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) KL@VAT44, pemimpin setempat dan individu prihatin itu, membolehkan misi bantuan dan kerja pembersihan pasca banjir dilaksana di tiga lokasi sekitar Hulu Langat.
Pengerusi MPPWP Sub Zon 5, Farouk Mohd Noor berkata, kerja-kerja pembersihan rumah mangsa di Batu 18, Taman Cempaka Lui serta Taman Sri Nanding dilakukan melalui tiga kumpulan dengan kekuatan tenaga 18 petugas.
Katanya, misi bermula seawal 7.30 pagi sehingga 6.30 petang itu menyaksikan lima rumah mangsa dan halaman sekitarnya dibersihkan termasuklah membuang sampah sarap dihanyutkan arus.
“Bantuan pembersihan ini lanjutan daripada dua misi sumbangan barang keperluan dan makanan yang sebelumnya telah dilaksana sebagai usaha berterusan membantu penduduk yang terjejas.
“Kesukaran dan kemusnahan harta benda dialami penduduk di sini menjadi peniup semangat kami bantu warga yang memerlukan, hasilnya bukan wang ringgit dan bekalan makanan sahaja boleh disumbangkan, namun tenaga dan keringat turut diperlukan mangsa banjir di sini,” katanya.
Sementara itu, selain dibantu Penyelaras Pejabat Cawangan DBKL, Bandar Tun Razak, Azlisham Abu Hasan bagi kelancaran kerja membersih dan membuang sisa sampah, petugas juga dilengkapi kemudahan logistik serta peralatan bersesuaian.
Keperluan tersebut jelas Farouk, dapat dipenuhi hasil sumbangan tunai dibiayai beberapa individu termasuk seorang usahawan muda yang dikenali Mr.Burn @Mr.Burn Gemsviral.
“Hasil sumbangan prihatin yang disalurkan telah memudahkan kerja pembersihan dan seterusnya meringan beban ditanggung mangsa,” ujarnya. – WILAYAHKU