Berita

Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga dilanjutkan sehingga Jun 2022

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata keputusan itu diambil bagi meringankan beban lebih 4,500 penjaja dan peniaga kecil memandangkan negara masih berdepan ancaman COVID-19 dan cabaran ekonomi.
- Diterbit 28 Disember 2021 1:12 AM MYT

INISIATIF Wilayah Bebas Berniaga (WBB) yang memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan yang dijadual tamat 31 Disember ini dilanjutkan hingga Jun tahun depan.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata keputusan itu diambil bagi meringankan beban lebih 4,500 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar di bawah program tersebut memandangkan negara masih berdepan ancaman COVID-19 dan cabaran ekonomi.

“Walaupun harga dikenakan untuk pembaharuan lesen ini tidak tinggi tetapi sedikit sebanyak inisiatif WBB diharap dapat membantu meringankan beban peniaga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agong Pemilihan Kali Ke-14 Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Wilayah Persekutuan di sini malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Khairul Anuar Mhd Juri dan Presiden PPPKM, Datuk Muhammad Abdullah.

Shahidan berkata, buat masa ini pihaknya tidak bercadang untuk menambah peserta WBB memandangkan kawasan yang ada sudah mencukupi namun akan mempertimbangkan sekiranya terdapat permohonan baharu dan kawasan yang sesuai.

“Kawasan itu mestilah mendapat kelulusan daripada DBKL yang tidak menganggu lalu lintas serta ketenteraman awam dan menjaga kebersihan persekitaran tapak niaga,” katanya.

WBB diperkenal pada 15 November 2020 tahun membuka peluang kepada warga Wilayah Persekutuan membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai secara percuma.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa isu pembinaan Kompleks Pasar Jalan Raja Bot yang terbengkalai akan melalui proses tender semula dan menjangkakan proses itu akan dilaksanakan pada minggu ke tiga tahun hadapan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas