Berita

90 peratus aduan, pertanyaan PERTIWI selesai

|
- Diterbit 10 Julai 2020 8:30 AM MYT

SEJAK dilancarkan, Talian Pertanyaan dan Aduan Kepada Menteri Wilayah Persekutuan
(PERTIWI) sentiasa mendapat cadangan dan pertanyaan di samping aduan daripada warga
Wilayah Persekutuan.

Berdasarkan statistik yang diperoleh dari April hingga Mei tahun ini, sebanyak 472 mesej berkaitan telah dihantar menerusi aplikasi WhatsApp PERTIWI.

Daripada jumlah itu, 339 telah selesai dan diambil tindakan oleh agensi yang bertanggungjawab manakala 128 adalah di luar bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan lima kes dalam tindakan.

MUHAMMAD HASIF

Pegawai Khas (DBKL) kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Muhammad Hasif Hussin berkata, sehingga 14 Jun lalu, 552 mesej telah dihantarkan menerusi PERTIWI yang mana 80 mesej tambahan diterima sepanjang tempoh berkenaan.

“Mesej yang paling banyak diterima adalah pertanyaan tentang program atau perkhidmatan yang disediakan KWP khususnya bagi agensi Perbadanan Labuan (PL) diikuti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP),” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Menurut Muhammad Hasif, pihaknya percaya dengan adanya saluran PERTIWI, warga Wilayah Persekutuan dapat mengetahui lebih lanjut program yang disediakan KWP dan agensi di bawahnya selain membuka peluang untuk membantu menyelesaikan masalah yang
dihadapi.

“Aduan melalui aplikasi WhatsApp ini sangat membantu orang awam terutamanya penduduk di Kuala Lumpur, yang mana mereka boleh menyalurkan aduan dengan mudah.

“Selain itu, PERTIWI juga membantu orang awam untuk bertanya atau mendapatkan
sebarang maklumat berkaitan perkhidmatan di bawah KWP,” jelasnya.

Mengulas tentang objektif mewujudkan saluran PERTIWI, ujar Muhammad Hasif, pihaknya
tidak menetapkan sebarang sasaran sebaliknya memastikan warga Wilayah Persekutuan
hidup dalam keadaan aman dan selesa.

Sehubungan itu, katanya, setiap aduan atau pertanyaan yang diajukan dan berada di bawah bidang kuasa KWP serta agensi diselesaikan dengan kadar segera mengikut permasalahan yang dihadapai manakala cadangan pula akan digunakan untuk penambahbaikkan perkhidmatan.

PERTIWI mula beroperasi pada 19 April dengan hanya menggunakan aplikasi WhatsApp bagi memudahkan warga kota berkomunikasi terus dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa dan timbalan beliau, Datuk Seri Dr Santhara.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas