Berita

Syarikat gergasi antara penyumbang, FoodBank Malaysia permudah bantuan disalurkan

FOOD Bank Malaysia juga menyalurkan bantuan barangan mentah kepada golongan sasar. FOOD Bank Malaysia juga menyalurkan bantuan barangan mentah kepada golongan sasar.
- Diterbit 10 Julai 2020 8:32 AM MYT

SYARIKAT gergasi pastinya tidak melepaskan peluang untuk melakukan amal menerusi pemberian sumbangan, malah begitu komited dalam menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Justeru, dengan adanya Program Food Bank Malaysia yang didayautamakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), sumbangan yang diserahkan terus sampai kepada golongan sasar tanpa perlu dikhuatiri.

Malah, ia diagihkan dengan teliti dan menepati keperluan setiap individu atau organisasi seperti pelajar selain sentiasa dipantau bagi memastikan bantuan yang dihulur mencukupi.

ETIKA SDN BHD
MENYEDARI kesukaran yang dialami golongan siswa, Etika Sdn Bhd tampil menghulurkan sumbangan dan bantuan bagi membantu generasi pelapis itu meneruskan pelajaran di institusi pengajian tinggi.

Pengurus Kanan Perhubungan Kerajaan, Mohd Zurairi Mustafa berkata, langkah itu juga sekali gus dapat membantu golongan yang memerlukan dan barisan hadapan di Malaysia.

“Sebelum sumbangan disalurkan, Etika Sdn Bhd akan mendapatkan maklumat penerima dan golongan sasar terlebih dahulu.

“Ia bagi membantu penyumbang mengetahui kawasan atau negeri yang akan menerima,” jelasnya yang menyalurkan sumbangan mengikut keperluan atau permintaan FoodBank
Malaysia.

Tambahnya, sumbangan diberikan sejak awal tahun 2019 menerusi Program FoodBank Siswa yang kini melebihi RM1 juta.

GENTLE SUPREME SDN BHD
PRIHATIN dengan nasib golongan berpendapatan rendah yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Gentle Supreme Sdn Bhd tampil menghulurkan bantuan.

Menurut Pengurus Jenama, Esther Ng, tujuan utama sumbangan disalurkan adalah untuk membantu individu kehilangan pekerjaan dan pelajar universiti yang terkandas di institusi pengajian tinggi.

“Moto kami adalah menawarkan produk-produk yang berkualiti tinggi pada harga berpatutan untuk dinikmati semua golongan masyarakat.

“Oleh itu, sebahagian besar sumbangan ialah Mi Sedaap Mi Tasty iaitu mi segera yang mengandungi cebisan daging ayam dan cendawan asli supaya penerima dapat menikmati makanan yang seimbang dalam masa kritikal ini,” katanya yang turut menyumbangkan cecair pencuci Daia Smart.

Ng juga memaklumkan bahawa pihaknya, tidak meneliti golongan sasar sebaliknya memberi bantuan kepada semua lapisan masyarakat termasuk hospital, pusat pelindungan penempatan gelandangan dan anak yatim.

Tambahnya, sumbangan yang disalurkan kepada FoodBank Malaysia bermula PKP dan dianggarkan berjumlah RM943,000 manakala jumlah keseluruhan sumbangan kepada masyarakat untuk tempoh yang sama adalah lebih RM1.5 juta.

Mondelēz International (Malaysia)
BERTEPATAN dengan ‘Snacking Made Right’, Mondelēz International (Malaysia) percaya bahawa nilai yang baik berjalan seiring dengan perniagaan yang lancar.

Ketua Hal Ehwal Korporatnya, Raja Zalina Raja Safran berkata, pihaknya mula bekerjasama dengan ‘food bank’ sejak 2018 melalui Food Aid Foundation yang mana lebihan produk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

“Kerjasama ini memudahkan Mondelēz International (Malaysia) menyalurkan sumbangan untuk diedarkan dan ia begitu praktikal selain dapat mengurangkan kos logistik untuk penghantaran ke beberapa lokasi,” katanya.

Menurut Raja Zalina, sumbangan yang dihulurkan merupakan produk Mondelēz International (Malaysia) seperti coklat Cadbury, biskut seperti Jacobs, Oreo, belVita, Chipsmore dan Tiger.

Mengulas tentang penerima, katanya, senarai golongan sasar sentiasa dipantau dan FoodBank Malaysia akan memberikan maklum balas terhadap status sumbangan dari
semasa ke semasa.

“Sumbangan kami telah disampaikan kepada beberapa kategori penerima seperti rumah amal dan anak yatim, perkampungan Orang Asli, pelajar universiti dan golongan B40 (termasuk PPR),” katanya sambil memaklumkan jumlah keseluruhan sumbangan adalah lebih kurang RM 2 juta.

YEO HIAP SENG (YEO’S)
Fokus untuk membantu golongan yang memerlukan di Malaysia, Yeo’s menyumbangkan produk makanan dan minuman pelbagai perisa keluarannya kepada golongan  berpendapatan rendah dan asnaf.

Pengurus Perkhidmatan Pelanggan dan Perhubungan Awam Yeo’s, Ong Sau King berkata, tujuan utama sumbangan disalurkan adalah untuk menyokong matlamat menyelamatkan lebihan makanan yang mencatatkan jumlah pembaziran paling tinggi setiap tahun.

Selain itu, katanya, langkah tersebut dapat membantu golongan yang memerlukan makanan dan keperluan harian.

“Yeo’s akan mendapatkan maklumat penerima serta golongan sasar terlebih dahulu dari pihak FoodBank Malaysia dan sumbangan diberikan mengikut keperluan atau permintaan,” katanya.

Menurut Ong, bantuan sumbangan disalurkan sejak awal tahun 2020 dan anggaran bantuan mencecah RM230,000.

VINDA MALAYSIA
“SEJAJAR dengan slogan ‘A healthy lifestyle starts with Vinda’, Vinda Malaysia Sdn Bhd menyumbangkan 18,000 bungkusan tuala wanita Libresse dan 4,500 bungkusan lampin bayi Drypers kepada golongan memerlukan.

Menurut Ketua Program CSR Vinda, Ethan Ganes, keperluan asas bukan hanya merujuk kepada makanan sebaliknya turut melibatkan produk kebersihan.

“Apabila kita ingin menjamin kesihatan, kebersihan juga perlu diutamakan selain sumber makanan,” katanya.

Ethan menyatakan, kerjasama dalam Program FoodBank Malaysia membolehkan pihaknya menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan bantuan sumbangan
disalurkan sejak akhir tahun 2019 sudah mencecah RM220,000.

Melangkah ke hadapan, Vinda Malaysia mengatur sumbangan dan kolaborasi yang lebih kerap dalam menyokong program FoodBank Malaysia.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas