Berita

Guru kreatif di Putrajaya semasa PKP diberi anugerah khas

MURID sentiasa memberi tumpuan semasa sesi PDP dijalankan bersama Muhd Elyas. MURID sentiasa memberi tumpuan semasa sesi PDP dijalankan bersama Muhd Elyas.
- Diterbit 10 Julai 2020 8:20 AM MYT

BEBERAPA guru di Putrajaya yang menunjukkan kreativiti mereka mengajar semasa
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan diraikan dalam Majlis Apresiasi Kreativiti PKP pada 2 Julai lalu.

Menurut Muhd Elyas Kamalul Ariffin yang merupakan Johan anugerah Guru Paling Kreatif (PDP) semasa PKP, matlamat utamanya menjadi guru adalah untuk memastikan murid seliannya menjadi cemerlang dan berdaya saing.

Ujar guru bahasa Inggeris dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 14(1) itu, selepas arahan PKP dikeluarkan, dia sudah merencanakan sesuatu agar anak muridnya terus mendapat pendidikan.

“Pada awalnya, saya buat kumpulan WhatsApp dengan setiap kelas yang diajar dan memberi mereka kuiz atas talian.

“Saya juga sering berkongsikan bahan pengajian dalam bahasa Inggeris tetapi ia semakin sunyi sehingga memasuki bulan April, oleh itu saya mengadakan perbincangan atas talian menerusi Google Meet dengan anak murid,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Berpengalaman lebih 12 tahun menjadikan Muhd Elyas sentiasa peka dengan keadaan semasa dan menjadikan ibu bapa sebagai teraju utama dalam setiap perkongsian pembelajaran.

Kata guru yang mengajar murid sekolah menengah itu lagi, ibu bapa akan dimaklumkan tentang kerja rumah yang diberikan dan apa aktiviti yang dilakukannya bersama anak murid.

“Saya adakan sesi pembelajaran setiap minggu, dari pagi hingga tengah hari. Untuk menarik perhatian anak murid pula, saya membuat sedikit jenaka di samping menggunakan aplikasi filter pada kamera.

“Mereka (murid) akhirnya mula memberi tumpuan. Saya akan membuat semakan secara atas talian bagi setiap latihan yang diberikan dan hantarkan kembali kepada mereka,” katanya yang turut mendapat perhatian daripada Jabatan Pendidikan Daerah Putrajaya.

Selain sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP) dilakukan secara atas talian, Program Nilam turut bergerak seiring supaya murid turut cemerlang dalam kokurikulum.

Mengakui pelbagai cara dilakukan untuk menggalakkan murid membaca, Rosni Eliana Mohamad yang mengajar di SMK Putrajaya Presint 9(1) menyatakan, dia membuat video galakkan untuk menarik minat murid.

“Saya juga sediakan link seperti buku nilam untuk murid isinya selepas membaca. Link tersebut meliputi maklumat buku termasuk penerbit dan ringkasan pembacaan, ia dihasilkan dengan kerjasama Perpustakaan SMK 9(2), pegawai di Jabatan Teknologi Pendidikan dan guru teknologi maklumat Sekolah Kebangsaan 9(2).

“Dengan adanya link tersebut, saya dapat mengtahui statistik pembacaan murid,” katanya yang turut berkongsikan laman sesawang Perpustakaan Negara bagi membolehkan murid mendapatkan kemudahan pembacaan.

Ujarnya yang baru menjadi guru pusat sumber tahun ini, jumlah pembacaan buku tidak
ditetapkan tetapi turut meminta murid berkongsikan sebarang maklumat yang dibaca.

Kreativiti dan usaha kerasnya itu juga dihargai apabila dinobatkan Johan bagi program
Nilam@home semasa Majlis Apresiasi Kreativiti PKP.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas