Berita

79 kontraktor sekitar Putrajaya ditawar peluang kerja bernilai RM5.4 juta

FADLUN (kiri) melakukan cabutan undi bagi perolehan kerja-kerja requisition 2023.
- Diterbit 30 Jun 2023 12:00 AM MYT

SERAMAI 79 kontraktor di sekitar Putrajaya berjaya memperoleh peluang kerjakerja kecil atau pembaikan yang tidak mengubah struktur asal bangunan selepas sesi pengundian dilakukan di Dewan Seri Siantan, Kompleks PPj, Presint 3, baru-baru ini.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, objektif penganjuran Majlis Cabutan Kerja Undi ini adalah bagi mempercepatkan pelaksanaan kerja-kerja kecil yang melibatkan pembaikan unit rumah kosong di kuarters penjawat awam.

“Ia juga diyakini dapat mempercepatkan proses perolehan sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi bagi memberi kesan berganda kepada negara dan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Di samping itu, Fadlun memaklumkan pengagihan kontrak kerja melalui kaedah ini juga dilihat sebagai lebih telus dan saksama selain berpotensi merancakkan semula rantaian ekonomi yang terhasil daripada aktiviti infrastruktur dan pembinaan.

“Bagi memastikan ketelusan proses cabutan kerja undi ini, PPj telah menjemput barisan pemerhati daripada Persatuan Kontraktor Bumiputra Malaysia, Jabatan Audit Dalam dan Unit Integriti PPj sendiri,” jelas beliau.

Fadlun berkata pada setiap tahun, pihaknya memperuntukkan sejumlah dana bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan di seluruh Putrajaya.

“Terdahulu, Majlis Cabutan Undi oleh PPj adalah pada tahun 2022 dengan anggaran nilai perolehan sebanyak RM4.2 juta bersamaan 132 jumlah kerja. Untuk kali ini iaitu kali pertama dianjurkan bagi tahun 2023 pula melibatkan anggaran nilai perolehan berjumlah RM5.4 juta bersamaan dengan 79 jumlah kerja.

“Peruntukan ini adalah termasuk pelaksanaan perolehan kerja-kerja requisition iaitu kerja-kerja kecil atau pembaikan yang tidak mengubah struktur asal bangunan.

“Saya berharap syarikat pembinaan yang berkompetensi akan menggunakan peluang ini untuk mempamerkan prestasi yang terbaik melalui keupayaan dan kepakaran melaksanakan kerja yang diterima,” ujar beliau pihak PPj menganggarkan lebih 300 kerja-kerja kecil dicadang untuk dilaksanakan pada tahun ini yang melibatkan peruntukan berjumlah RM10 juta.

Tambahnya lagi, PPj dan pihak Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sentiasa komited dan beriltizam dalam memastikan kesaksamaan peluang dalam sektor pembinaan diagihkan secara adil dan telus.

Turut hadir menyempurnakan majlis, Timbalan Ketua Pengarah JWP, Datuk Parang Abai @ Thomas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas