Berita

Ivan-Rachel ke final Skuasy Beregu Campuran Asia di Hangzhou

- Diterbit 29 Jun 2023 3:45 PM MYT

BEREGU campuran negara Ivan Yuen-Rachel Arnold tinggal selangkah lagi untuk meraih gelaran juara Kejohanan Skuasy Beregu Campuran Asia 2023, selepas menewaskan pasangan India pada aksi separuh akhir di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, China hari ini.

Dalam aksi peringkat separuh akhir itu, Ivan-Rachel terpaksa berdepan dengan saingan sengit daripada Abhay Singh-Anahat Singh, apabila tewas 10-11 pada set pertama, sebelum bangkit untuk memenangi set kedua 11-4 dan mengheret perlawanan dalam set penentuan, yang berakhir dengan kemenangan 11-6.

Pasangan regu negara itu akan berdepan Harinder Pal Singh-Dipika Pallikal dari India, pada pentas akhir esok.

Ivan berkata strategi yang dirangka pihak kejurulatihan membantu mereka ketika dalam gelanggang, untuk meraih kemenangan dan berharap momentum itu dapat dikekalkan pada aksi final esok.

“Saya rasa perlawanan hari ini, semuanya berjalan dengan baik mengikut strategi kami, dan cara yang kami mahukan dan kami dapat mengubah cara permainan antara set pertama dan kedua.

“Saya amat gembira dengan kemenangan ini, dan berharap esok prestasi kami lebih baik lagi,” katanya menerusi rakaman audio yang dikongsikan kepada media, hari ini.

Harinder-Dipika layak ke peringkat akhir, selepas menewaskan satu lagi pasangan campuran negara, Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman dalam pertarungan straight set, 9-11 dan 6-11.

“Mohammad Syafiq dan Aifa melawan Harinder-Dipika agak sukar untuk Aifa, bagaimanapun pada perlawanan kedua kami cuba mengagih-agihkan permainan (Mohammad Syafiq dan Aifa) tetapi ia tidak menjadi seperti apa yang kita mahukan dan kalah.

“Banyak yang kami pelajari di sini, dan akan melihat semula untuk persediaan yang lebih baik untuk Sukan Asia,” kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas