Berita

7 Briged tahan 18 PATI, rampas RM11,484

SEKUMPULAN PATI ditahan ketika memasuki negara secara tidak sah awal pagi tadi. - Ihsan TENTERA
- Diterbit 23 Disember 2020 7:39 AM MYT

SERAMAI 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan ketika memasuki negara ini melalui laluan yang tidak sah dengan nilai rampasan RM11,484, awal pagi tadi.

Kesemua mereka ditahan semasa Op Benteng yang dilakukan Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) sekitar pukul 6.25 pagi sehingga 11.25 pagi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, pada pukul 5.06 pagi tadi, anggota petugas Pos Pemerhati telah mengesan pergerakan masuk bot yang mencurigakan di sekitar kawasan am Kuari Batu, Pantai Kampung Tanjung Che Lahom, Kota Tinggi, Johor.

Ekoran itu, katanya, pasukan bertindak menghubungi pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pasukan Drone dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) untuk membuat pemantauan.

“Pada masa sama, pasukan Quick Reaction Force turut mengatur gerak bagi membuat penjejakan serta mengepung kawasan tersebut.

“Serbuan dilakukan pada pukul 06.25 pagi dan seramai 17 PATI berjaya ditahan. Seorang lagi PATI ditahan ketika sedang bersembunyi di sekitar kawasan tersebut pada pukul 11.25 pagi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kesemua 18 PATI terdiri daripada 13 lelaki dan lima wanita berusia antara 18 hingga 45 tahun.

Katanya, kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen.

Tambahnya, laporan polis juga dibuat di Balai Polis Bayu Damai dan pasukan QRF berusaha menjejak saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas