Berita

22 media dikuarantin Mei lepas, PPMP gesa kerajaan percepat vaksinasi

PPMP berharap petugas media tidak menjadi barisan hadapan yang dibelakangkan dalam pemberian vaksin supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih yakin dan selamat. Kredit Foto oleh - Azhar Ramli/Berita Harian
- Diterbit 8 Jun 2021 7:05 AM MYT

PERSATUAN Pengamal Media Perak (PPMP) menggesa kerajaan menyegerakan pemberian vaksin kepada petugas media supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih yakin dan selamat.

Pengerusi Persatuan PPMP Sayed Mohd Hesham Syed Idris dalam kenyataan hari ini berkata pengamal media di Perak dan beberapa negeri lain masih belum mendapat sebarang notifikasi janji temu vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera.

“Sepanjang tempoh negara berdepan dengan pandemik berkenaan, sebahagian pengamal media di Perak telah beberapa kali melalui tempoh kuarantin diri dan menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

“Pada 3 Mei lalu, seramai 22 petugas media daripada pelbagai agensi di negeri ini menjalani kuarantin setelah dikesan menjadi kontak rapat kepada pesakit yang disahkan positif COVID-19. Ini membuktikan tugas di lapangan yang dipertanggungjawabkan sangat terdedah dengan risiko tinggi,” katanya.

“PPMP berharap petugas media tidak menjadi barisan hadapan yang dibelakangkan dalam pemberian vaksin supaya kami dapat terus berkhidmat, berbakti dan membawa agenda kerajaan bagi mencapai imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata petugas media yang berdaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan mulai esok. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas