Biz

1EBC sasar golongan bumiputera dalam industri kewangan

NORHAILI (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang perunding kewangan yang berjaya baru-baru ini. NORHAILI (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang
- Diterbit 29 Mei 2022 8:00 AM MYT

1EBC, agensi yang menyediakan perkhidmatan perundingan kewangan dan pelaburan menyasarkan pembabitan lebih ramai Bumiputera terutama golongan muda untuk menyertai industri tersebut.

Presiden 1EBC Sdn Bhd, Norhaili Ahmad Mokhtar berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk menambah bilangan anak-anak Melayu untuk terbabit dengan industri tersebut bagi memecah dominasi kaum bukan melayu yang telah lebih lama berkecimpung di dalam bidang ini.

“Sebelum ini, kita tahu ramai orang kita tertipu dengan skim cepat kaya kerana hendak kaya dengan cepat. Kita hendak menjadikan anak muda Melayu sebagai perunding kewangan berlesen dan menghindari masalah skim cepat kaya yang berakar dalam kehidupan orang Melayu,” katanya kepada Wilayahku sejurus Program 1EBC Champion Raya Fiesta 2022 baru-baru ini.

Norhaili berkata, kedudukan orang Melayu dalam sektor ekonomi agak ketinggalan berbanding kaum lain menjadi penyebab kepadanya untuk menambah bilangan perunding kewangan yang berdaftar dengan 1EBC.

“1EBC bernaung di bawah Bank Pelaburan Kenanga (KIB) serta ada usaha mereka untuk memperkasakan orang Melayu. Malah melalui 1EBC, kita telah mempunyai kira-kira 2,200 agen perunding kewangan di bawah KIB,” katanya.

Beliau berkata, meskipun belum mencecah setahun bernaung di bawah KIB, pihaknya berjaya mencatatkan jualan produk kewangan sebanyak RM800 juta.

“Ini semua adalah usaha bersama anak-anak Melayu yang berkebolehan dan mereka menyasarkan pelaburan untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” ujarnya yang menegaskan pelaburan tersebut sah di sisi undang-undang.

Terdahulu, Program Fiesta Raya 2022 dianjurkan bagi meraikan 400 penasihat kewangan yang bernaung di bawah 1EBC serta KIB.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kenanga Investors, Ismitz Matthew De Alwis selain kehadiran Pertubuhan Kebajikan Al-Barakah Malaysia serta persembahan artis, Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas