Fokus

Ayuh! Teroka Malaysia dengan insentif istimewa

DATUK Seri Nancy Shukri (tengah) hadir di hotel Sheraton Petaling Jaya bagi melancarkan lagu Cuti-Cuti Malaysia versi kedua dan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 pada 17 Mei (Selasa) lalu.
- Diterbit 28 Mei 2022 2:53 PM MYT

BAGI menyemarakkan lagi pelancongan domestik negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia telah melancarkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 dan Lagu Cuti-Cuti Malaysia versi kedua, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelancaran pelan ini bertujuan menarik minat orang ramai untuk terus membuat tempahan tiket pengangkutan atau pakej pelancongan pada harga istimewa.

“Langkah ini seterusnya mampu merangsang permintaan industri pelancongan untuk menyokong mereka yang terjejas agar kekal berdaya saing.

“Pada masa yang sama, diharapkan agar inisiatif ini dapat mengembalikan keyakinan untuk melancong dan menyemarakkan pelancongan domestik serta memaksimumkan sumber sedia ada,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Pelancongan Malaysia 2022 dan Lagu Cuti-Cuti Malaysia versi kedua di Hotel Sheraton Petaling Jaya, pada 17 Mei (Selasa) lalu.

Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri MOTAC, Datuk Seri Santhara Kumar Ramanaidu; Timbalan Ketua Setiausaha Pelancongan, Mohd Zamri Mat Zain; Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Seri Ramlan; Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab dan pegawai-pegawai kanan kementerian serta agensi-agensi.

Mengulas lanjut, Nancy memaklumkan, Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang merupakan kesinambungan daripada Pekej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0) adalah salah satu inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Industri Pelancongan melibatkan penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.

“Pemberian insentif tersebut telah bermula pada 29 April lalu meliputi dua kluster iaitu Kluster Pengangkutan Darat dan Kluster Persatuan Pelancongan.

“Bagaimanapun, ia akan diperluaskan secara berperingkat melibatkan Kluster Pengangkutan Udara dan Kluster Penginapan selain Kluster Pelancongan Minat Khas
merangkumi segmen selam skuba, inap desa, beli-belah dan taman tema,” katanya.

DISKAUN TAMBANG DAN PAKEJ PELANCONGAN

DALAM pada itu, Nancy berkata, di bawah Kluster Pengangkutan Darat, Tourism Malaysia telah menjalinkan kerjasama strategik bersama perkhidmatan KLIA Ekspres dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam penawaran diskaun tambang antara RM10 hingga RM15 yang bakal memanfaatkan seramai 64,675 pengguna.

“Tebus pembelian diskaun tiket KLIA pergi atau balik (sehala) dan tiket KTMB bagi warganegara Malaysia memiliki MyKad bermula 29 April hingga 30 November ini,” katanya.

Tambahnya, di bawah Kluster Persatuan Pelancongan pula, Tourism Malaysia sekali lagi bekerjasama dengan Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA), Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA), Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan India Malaysia (MITTA) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) dalam penawaran pelbagai pakej destinasi pelancongan domestik oleh ejen pelancongan berdaftar menerusi aplikasi e-marketplace Shopee.

“Rakyat Malaysia boleh mendapatkan diskaun sebanyak RM100 untuk satu transaksi pembelian pakej pelancongan bernilai RM200 ke atas bermula 29 April sehingga 31 Oktober bagi tempoh perjalanan sehingga 31 Disember ini.

“Dianggarkan seramai 14,925 rakyat Malaysia bakal menerima manfaat ini dengan sasaran penjualan pakej percutian keseluruhan bernilai RM2,985,000,” jelasnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas