Berita

18 peniaga ditawar lesen perniagaan Medan Selera Lucky Garden

SHAHIDAN (kanan) meninjau premis Medan Selera Lucky Garden, Bangsar dalam lawatannya baru-baru ini.
- Diterbit 3 Jun 2022 7:20 AM MYT

SELEPAS terpaksa menunggu lebih dua tahun, akhirnya 18 peniaga di Medan Selera Lucky Garden, Bangsar yang sebelum ini terpaksa dipindahkan mampu menarik nafas lega apabila menerima tawaran lesen perniagaan di kawasan itu.

Pengarah Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairul Anuar Mhd Juri berkata medan selera di kawasan itu telah dinaik taraf bagi meningkatkan imej di kawasan itu pada tahun 2020 namun terpaksa ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Medan Selera Lucky Garden sebelum ini terpaksa dikosongkan bagi memberi laluan untuk kerja-kerja naik taraf pada tahun 2020 yang dijadualkan mengambil masa tiga bulan sahaja.

“Namun apabila kerajaan terpaksa menguatkuasakan PKP ekoran penularan wabak COVID-19, maka kerja-kerja tersebut terpaksa dihentikan dan berlanjutan sehingga dua tahun menyebabkan kelewatan dan menjejaskan peniaga yang terlibat,” katanya kepada Wilayahku selepas Program Aidilfitri dan Penyerahan Surat Tawaran Semula Dan Lesen Perniagaan di Sentul Perdana. Lesen dan surat tawaran diserahkan oleh pegawai tugas-tugas khas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Mahadhir Sulaiman.

Beliau berkata, 18 peniaga ini diberikan penawaran semula untuk menyambung perniagaan mereka dengan beberapa insentif bagi membantu mereka memulakan semula perniagaan.

“Kebanyakan peniaga ini mengusahakan perniagaan makanan bermasak dan mereka terdiri daripada 10 peniaga Melayu dan masing-masing empat orang Cina dan India.

“Mereka akan menerima sebuah gerai berukuran 12 kaki x 8 kaki dengan kadar sewaan RM440 sebulan.

“Memandangkan kebanyakan peniaga ini akan memulakan perniagaan pada 6 Jun ini, DBKL telah memberikan pengecualian bayaran sewa dan utiliti selama enam bulan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPPKM), Datuk Muhammad Abdullah mengucapkan terima kasih kepada DBKL kerana menempatkan 18 peniaga ini di premis yang lebih selesa untuk meneruskan perniagaan masing-masing.

“Sebelum ini mereka terpaksa menjaja di beberapa kawasan ekoran memberi laluan terhadap kerja ubah suai yang sepatutnya mengambil masa tiga bulan sahaja.

“Namun yang paling utama, sepanjang tempoh dua tahun ini, pihak DBKL membantu menempatkan mereka di kawasan-kawasan tertentu dan tiada sebarang tindakan dikenakan kerana kami memahami kesukaran yang dihadapi peniaga,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas