Artikel

Lebuh raya atau pengangkutan awam?

ADAKAH pembinaan lebih banyak lebuh raya akan melancarkan aliran trafik?
- Diterbit 3 Jun 2022 8:30 AM MYT

MANA lebih utama? Membina lebih banyak lebuh raya di Kuala Lumpur dan Lembah Klang untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas atau menambah baik serta mempertingkat kemudahan pengangkutan awam?

Menteri Kerjaraya, Datuk Fadillah Yusof baru-baru ini mengumumkan, tiga lebuh raya baharu akan dibina di Lembah Klang bagi memudah dan melancarkan perjalanan lima juta penduduk di kawasan berkenaan.

Yang telah mendapat kelulusan secara prinsip ialah Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link), Lebuh Raya Ekspres Putrajaya-Bangi (Putrajaya-Bangi Expressway (PBE) dan Lebuh Raya Eskpres Penyuraian Kuala Lumpur Utara (Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway (KL-NODE).

Pakar pengangkutan bagaimana pun tidak setuju dengan cadangan tersebut. Bagi mereka, keutamaan yang perlu dilaksanakan segera ialah mempertingkat kemudahan pengangkutan awam, bukan membina lebuh raya baharu.

Memetik laporan FMT, dua perunding pengangkutan, Rosli Azad Khan dan Goh Bok Yen, pembinaan lebih banyak lebuh raya di Lembah Klang tidak mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing.

Mereka berpendapat, jika kerajaan terus dengan rancangan tersebut, keutamaan kerajaan telah tersasar. Ia seolah-olah menggalakkan penggunaan kenderaan sendiri sedangkan matlamat utama ialah mahu orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Menurut Rosli, sudah terlalu banyak lebuh raya di Lembah Klang. Kerajaan sepatutnya mencari jalan mempertingkat dan menambah baik sistem pengangkutan awam sebelum menimbang pembinaan lebuh raya baharu. Beliau juga memberi contoh pengangkutan awam yang tidak beroperasi pada tahap optimum kerana sering rosak.

Adi juga ingin menambah, pengangkutan awam, terutama bas, sering tidak menepati waktu. Justeru penyelesaian terhadap masalah seperti ini yang perlu diberi keutamaan. Pengangkutan awam mesti sentiasa efisien.

Goh pula berkata, pembinaan lebuh raya tambahan akan meningkatkan rintangan terhadap pengangkutan awam. Beliau menyifatkan wujud ‘konflik yang jelas’ apabila kerajaan melabur berbilion ringgit dalam pembinaan rel, koc dan bas pengantara di satu pihak dan pembinaan berterusan lebuh raya bandar di pihak lain. Baginya, ia tidak melengkapi antara satu sama lain, sebaliknya bersaing.

Bagaimanapun Adi berpendapat, jika kerajaan telah membuat kajian teliti dan merasakan perlu membina lagi lebuh raya di Lembah Klang, buatlah. Tetapi fokus utama mempertingkat pengangkutan awam jangan abaikan. Ia mesti dipantau dan ditambah baik secara berterusan.

Juga perlu diingat, proses pembinaan lebuh raya akan mengambil masa beberapa tahun. Dalam tempoh itu akan berlaku kesesakan terutama di kawasan pembinaan.

Kini semakin ramai menggunakan perkhidmatan seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Mass Rapid Transit (MRT) dan monorail. Perkhidmatan ini lebih dipercayai daripada segi keselesaan dan ketepatan waktu memandangkan ia menggunakan laluan sendiri.

Ini berlainan dengan bas atau teksi yang sering tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Faktor ini menyebabkan perjalanan dengan bas sangat tidak lancar. Pengguna kerana tidak pasti jangka waktu diambil untuk sampai ke destinasi dituju. Jika tersangkut dalam kesesakan, pasti waktu sampai akan tergelincir. Urusan atau kerja juga tergendala.

Dalam hubungan ini usaha menarik orang ramai menggunakan LRT dan MRT perlu diperhebat. Misalnya menambah kawasan parkir di stesen LRT. Atau menyediakan lebih banyak kawasan parkir di luar kawasan LRT dan menyediakan bas pengantara atau feeder bus ke stesen berkenaan dan sebaliknya dengan kerap.

Bagi membantu mengatasi masalah bas yang kerap kali tersangkut kerana jalan sesak, Adi cadangkan pihak berkuasa iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah proaktif. Misalnya mengembalikan laluan khas bas yang pernah dilakukan suatu ketika dahulu untuk laluan bas Intrakota.

Usaha ini membolehkan laluan lebih lancar kerana tiada gangguan daripada kenderaan lain. Waktu perjalanan lebih mudah dirancang.

Fadillah ada menyatakan, jika 60 peratus warga Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam dan 40 peratus membawa kenderaan sendiri, masalah lalu lintas dapat dikurangkan.

Namun pada pandangan Adi, ia patut sebaliknya iaitu 60 peratus menggunakan pengangkutan awam dan 40 peratus berkenderaan sendiri. Cara ini akan membolehkan jalan dan lebuh raya lebih lapang dan lancar. Untuk mencapai matlamat ini, pengangkutan awam mesti efisien.

Adi sendiri positif jika sistem pengangkutan awam lancar dan berkesan serta menyenangkan pengguna, lebih ramai akan menggunakannya. Mereka sendiri sebenarnya tidak suka memandu ke pejabat atau ketika melakukan urusan lain, terperangkap dalam kesesakan dan kemudian perlu mencari tempat parkir.

Dengan laluan MRT Putrajaya Fasa 1 dijangka mula beroperasi pada pukul 3 petang 16 Jun 2022, setelah tertangguh dari jadual asal pada Ogos 2021 dan November 2021, fungsi pengangkutan awam kian penting. Perkhidmatan MRT ini merentasi 12 stesen dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu.

Fasa 1 ini akhirnya akan berssambung sehingga ke pusat pentadbiran Putrajaya, dijangka pada Januari 2023 apabila Fasa 2 dari Kampung Batu ke Putrajaya beroperasi. Jaraknya 58 kilometer merentasi 36 stesen. Adi percaya ketika itu lebih ramai akan memilih ke Putrajaya menggunakan MRT.

Untuk mengurangkan kesesakan di bandar raya dan Lembah Klang, Adi berpendapat sudah tiba masanya kemasukan kenderaan ke bandar raya dikurangkan melalui pelaksanaan langkah drastik. Ini sejajar dengan matlamat menjadikan Kuala Lumpur bandar raya rendah karbon.

Antara yang boleh dilaksana ialah sistem zon yang mengenakan bayaran atau tol apabila memasuki zon tertentu, terutama di kawasan yang sering sibuk dan sesak. Sistem zon pernah dirancang dan hampir dilaksana beberapa dekad lalu.

Malah beberapa palang besi zon atau gantri sudah didirikan di beberapa lokasi tertentu, antaranya di hadapan pusat beli belah Sogo sekarang. Tetapi tidak pasti apa yang berlaku sebenarnya menyebabkan rancangan ini dibatalkan. Gantri yang didirikan juga dirobohkan. Satu lagi cara ialah mengenakan bayaran parkir tinggi dalam bandar. Kadar tinggi mungkin menyebabkan orang ramai berfikir dua kali untuk membawa kenderaan memasuki bandar.

Langkah ini semua memang drastik dan akan ada yang tidak bersetuju. Tetapi jika serius hendak mengurangkan kesesakan di bandar raya, langkah tegas mesti diambil walaupun tidak popular.

Apa juga cara untuk menyelesaikan masalah kesesakan, termasuk membina lebuh raya, jalan baharu atau menambah baik laluan di ibu negara, sukar menjamin masalah dapat diselesaikan secara tuntas.

Ini kerana jumlah kenderaan sentiasa bertambah setiap hari, bulan dan tahun, lebih pantas daripada pembinaan lebuh raya atau membaiki jalan. Kerana itu Adi fikir langkah drastik perlu diambil. Jangan sampai kesesakan lalu lintas di ibu negara dibiarkan semakin menyiksa.

Adi—Suka duduk di rumah – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas