Berita

1,000 pekerja syarikat MMC Gamuda terima suntikan vaksin COVID-19

- Diterbit 8 Jun 2021 9:20 AM MYT

SERAMAI 1,000 pekerja syarikat MMC Gamuda menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 menerusi Projek Rintis Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), di Galeri Projek SSP, Cheras Kuala Lumpur hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, program diadakan bagi memvaksinasi pekerja perkhidmatan kritikal supaya mereka dapat meneruskan kerja pembinaan seperti yang dijadualkan dengan mengurangkan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pekerja susulan tugasan penamat dan ujian kritikal Fasa 1 Projek Laluan MRT Putrajaya sedang disiapkan menjelang pelancarannya, pertengahan Ogos tahun ini.

“Langkah proaktif itu susulan peningkatan kes COVID-19 di tapak pembinaan yang secara tidak langsung memberi implikasi kepada usaha menyelamatkan Wilayah Persekutuan daripada penularan wabak.

“Kesemua penerima terdiri daripada kakitangan, kontraktor turnkey (TC) dan kontraktor pakej kerja bawah tanah untuk projek laluan MRT Putrajaya,” katanya.

Menurut Annuar, kesemua penerima vaksin hari ini sudah berdaftar dalam aplikasi MySejahtera terlebih dahulu.

Jelas beliau, sebanyak dua unit trak vaksin bergerak MYMedic@Wilayah digunakan dengan setiap trak mempunyai kapasiti 500 dos vaksin.

“Proses vaksinasi yang dijalankan bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang dan dijadualkan selama sehari. Ia dijalankan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat malah pergerakan penerima vaksin dikawal selia oleh anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) polis dan beberapa lagi bagi memastikan tidak berlaku kesesakan serta mengikut penjarakan fizikal yang ditetapkan.

“Kementerian Wilayah Persekutuan berharap semua institusi, syarikat dan permis perniagaan di Wilayah Persekutuan dapat bersama-sama memerangi COVID-19 dengan memberi perhatian khusus kepada aspek keselamatan dan pencegahan wabak terhadap pekerja serta kakitangan selain memastikan mereka sentiasa mematuhi peraturan pencegahan COVID-19 dan SOP di tempat kerja,” tambah beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas