Berita

10 usahawan muda terima kios program UAMK di Putrajaya

NAIB Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Nik Shukri Nik Soh; Pengarah Bahagian Pelesenan PPj, Jeffri Mustapa (kiri) bersama usahawan muda yang menerima kios baharu pada program UAMK di Medan Selera Presint 9, Putrajaya.
- Diterbit 17 Februari 2022 8:00 AM MYT

PERBADANAN Putrajaya (PPj) mempertingkatkan lagi usaha dalam memperkasakan usahawan muda dengan penyerahan sebanyak 10 buah kios perniagaan kepada mereka yang layak menerusi Program Usahawan Anak Muda Kota (UAMK) Putrajaya baru-baru ini.

Menurut Pengarah Komunikasi Korporat PPj, TPr Norzita Abdul Razak, Mini Karnival UAMK Putrajaya yang berlangsung pada 12 dan 13 Februari 2022 itu bertujuan mempamer dan mempromosikan UAMK Putrajaya di samping membantu, menyokong perkembangan dan pemulihan ekonomi penjaja kecil Putrajaya yang terkesan akibat pandemik.

“Enam kios telah ditempatkan di Medan Selera Presint 9 manakala empat unit lagi di Souq, Presint 1 Putrajaya.

“Pelbagai pengisian telah dirancang antaranya mini pameran UAMK, jualan barangan makanan dan keperluan, Program 3R dan pengumpulan baju terpakai, jualan Kombi, pertunjukan dan Pertandingan Kenderaan Klasik dan BMX, Pertandingan Gubahan Tuala dan Tembikan antara Sub Zon MPPWP Putrajaya, cabutan bertuah serta persembahan ‘buskers.

“Kesemua kios ini akan mula beroperasi bermula Mac 2022 dan bagi merancakkan lagi program UAMK Putrajaya pada tahun ini, PPj akan menyediakan lagi tambahan 10 kios baharu yang bakal disiapkan pada akhir tahun ini dan 16 lagi kios pada tahun 2023,” katanya.

Di samping itu, Norzita turut memaklumkan program UAMK Putrajaya telah menerima sambutan menggalakkan daripada para usahawan yang bukan sahaja ter diri daripada penduduk Putrajaya malah mereka yang menetap di kawasan berhampiran sejak pengumumannya pada Julai 2020 lalu.

“Walau bagaimanapun, keutamaan tetap diberikan kepada warga Putrajaya khususnya golongan belia berusia 18 hingga 35 tahun dan kepada mereka yang hilang perkerjaan dan aktiviti perniagaan akibat kesan pandemik COVID-19.

“Program di bawah inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) ini telah memasuki tahun ketiga dan telah banyak memberi manfaat kepada anak muda yang menyertainya.

“Antara usahawan yang telah ditawarkan di bawah program UMK seperti Akie Burger, Takoyaki Bro, Aris Burger, Apam Balik Seri Menanti, kios runcit, kios francais Cheese-U dan Smail Cheese di Persiaran Perdana,” ujar Norzita. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas