Berita

6 pakar gagal kesan penyakit Ustaz Kazim Elias

Ustaz Haji Jafri Abu Bakar @ Mahmud do majlis pelancaran Susu Kambing Faa-iz di Kompleks Islam Darul Faizin (KIDaF)
- Diterbit 17 Februari 2022 1:50 AM MYT

PENDAKWAH popular Datuk Ustaz Kazim Elias,49, memberitahu enam pakar perubatan gagal mengesan penyakit misteri yang dialaminya sejak tahun lalu.

Ini menguatkan lagi dakwaan bahawa dirinya terkena buatan sihir sehingga menyebabkan dirinya sakit, keadaan muka berubah dan kaki membengkak besar.

“Alhamdulillah saya masih meneruskan rawatan di hospital. Setakat ini sudah enam doktor pakar untuk merawat saya. Mereka sampai sekarang tidak dapat mengenal pasti penyakit yang saya hadapi.

“Memang itulah jawapan yang saya dapat setiap kali buat rawatan. Saya ikut prosedur mereka semua untuk buat imbasan MRI (Pengimejan resonans magnetik), ambil darah dan sampel spesimen.

“Jadi apabila mereka mengatakan tidak ada penyakit, tiada masalah, saya okay untuk teruskan dengan rawatan alternatif dan masih meneruskan rawatan itu ketika ini,” katanya kepada Wilayahku.

Ustaz Kazim ditemui malam tadi, pada sidang media majlis pelancaran tiga perisa terbaharu Susu Kambing Faa-iz di Kompleks Islam Darul Faizin (KIDaF), Bandar Baharu, Kedah.

USTAZ Kazim bersama PENGERUSI KIDaF, Ustaz Haji Jafri Abu Bakar @ Mahmud do majlis pelancaran Susu Kambing Faa-iz di Kompleks Islam Darul Faizin (KIDaF), Bandar Baharu, Kedah.

Ustaz Kazim juga menjelaskan, walaupun pakar gagal mengesan penyakitnya, beliau tetap menjalani pembedahan kakinya yang mengalami bengkak.

“Saya tetap buat rawatan dan lagi pemeriksaan minggu depan di Hospital Pakar Ipoh.

“Saya takut bila saya tidak pergi buat rawatan moden, nanti ada yang cakap tidak jumpa doktor pakar.

“Padahal saya sudah buat semua prosedur termasuk dua tiga bulan jalani pembedahan.

“Disebabkan kaki saya bengkak dan doktor nak belah (bedah), saya benarkan. Bila dibelah tidak ada darah dan nanah.

“Bukti video saya ada tetapi masalah hendak tunjuk kepada media takut dikatakan cari propa (propaganda). Itu yang berlaku dan bukannya saya tidak serahkan kepada rawatan pakar.

“Ada video dirakam di mana kaki saya dibedah tidak ada darah padahal saya ini sudah makan ubat cair darah. Sedangkan, kadang-kadang luka sikit pun keluar darah banyak sebelum ini,” ujarnya lagi yang pelik melihat keadaan itu.

Terdahulu, Ustaz Kazim pernah membuat perkongsian sebuah video ‘live’ di laman Facebook milik beliau pada Oktober tahun lalu, termasuk menunjukkan wajahnya yang kelihatan sedikit berubah dan uzur.

Menerusi paparan itu, beliau yang sering muncul dalam program dan forum agama Islam di kaca televisyen sebelum ini mendedahkan mengalami perubahan fizikal yang ketara pada wajah terutama bahagian mata dan bibir.

Tambahnya lagi, beliau dapat merasakan penderitaan yang dialaminya kini mungkin sihir yang berkaitan hasad dengki dan iri hati pihak yang tidak menyukainya. WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas