Berita

YWP fokus tingkat aspek pendidikan, penjagaan anak-anak PPR/PA

ABDUL Rahman bergambar barisan panel dan peserta Forum Meja Bulat: Menoktahkan Kemiskinan Bandar: Kesan dan Cabaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
- Diterbit 22 Jun 2023 9:44 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) sedang berusaha memperluas dan memperkasakan penubuhan Pusat Pemerkasaan Pendidikan & Komuniti (PREPKOM) yang terletak di 10 lokasi Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengarah Eksekutifnya, Abdul Rahman Siraj berkata penubuhan PREPKOM di lokasi PPR/PA memberi peluang kepada penduduk melakukan pelbagai aktiviti bersama komuniti setempat selain menjadi pusat kemudahan pembelajaran.

“Kalau kita lihat rata-rata rumah di PPR/PA DBKL ruangannya agak terhad dan tidak begitu selesa untuk melakukan pelbagai aktiviti, jadi YWP melihat situasi ini sebagai satu perkara yang perlu diberi tumpuan.

“Justeru itu, penubuhan PREPKOM ini bukan sahaja memberi peluang kepada komuniti setempat untuk melakukan aktiviti riadah, kelas tuisyen, mengaji, mesyuarat dan sebagainya malah ia juga boleh dijadikan pusat pembelajaran dan pencarian maklumat di sini.

“Ini kerana, PREPKOM menyediakan pelbagai kemudahan seperti komputer, internet, mesin fotostat dan sebagainya,” kata beliau ketika sesi diskusi rumusan Forum Meja Bulat: Menoktahkan Kemiskinan Bandar: Kesan dan Cabaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Tambah beliau, antara tumpuan lain yang diberi penekanan adalah melalui projek terbaharu YWP iaitu menubuhkan pusat penjagaan kanak-kanak di sekitar kawasan PPR/PA DBKL.

“Cuba anda semua bayangkan, kalau ibu bapa menghantar seorang anak mereka di mana-mana taska atau pusat jagaan, kosnya lebih kurang RM300 dan ke atas, itu pun mengikut kategori umur.

“Jadi, kalau kita boleh tampung separuh daripada kos penjagaan anak-anak tersebut, mereka sudah ada sekurang-kurangnya RM300 dalam poket sebagai duit simpanan dan sekiranya gaji seseorang itu berjumlah RM1,000 sebulan, dia juga boleh menyimpan duit tersebut untuk kegunaan lain pada masa hadapan.

“Ini adalah dua fokus utama YWP yang perlu diberi penekanan iaitu tumpuan kepada pendidikan dan penjagaan anak-anak.

“Disebabkan itu juga, saya mengajak Persatuan Wadah Pencerdesan Umat Malaysia (WADAH) menyediakan satu modul pendidikan terbaik bagi pusat pendidikan anak-anak mahupun pusat komuniti,” katanya pusat jagaan kanak-kanak yang dirancang dijangka akan dirasmikan pada tahun ini.

Terdahulu, beliau bersama beberapa barisan kepimpinan YWP menghadiri Forum Meja Bulat: Menoktahkan Kemiskinan Bandar:Kesan dan Cabaran yang bertujuan untuk berkongsi maklumat dan mengenal pasti situasi serta permasalahan berkaitan kemiskinan di Malaysia.

Forum yang berlangsung selama tiga jam ini juga dianggap sebagai medan untuk mencapai kaedah penyelesaian permasalahan kemiskinan yang berseusaian bagi melipat gandakan usaha membasmi kemiskinan tegar bandar dan luar bandar.

Antara barisan panel pembentang Presiden WADAH, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman; Ketua Unit Kemiskinan Bahagian Pembangunan Ekuiti, Kementerian Ekonomi, Achemed Badarudin Mohd Yatim; Ketua Pusat Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Rospidah Ghazali serta lain-lain. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas