Berita

YWP fokus bangun usahawan muda

KIOS jualan di beberapa lokasi strategik sekitar ibu kota.
- Diterbit 15 Julai 2023 1:00 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) ­sedang giat meningkatkan perniagaan usahawan sedia ada melalui Program Pembangunan Usahawan Muda Kota (UMK) yang dilaksanakan sejak 2020.

AHMAD HETHIR

Pengurus Pembangunan Ekonomi Belia YWP, Ahmad Hethir Hashim berkata Program UMK menyediakan kios jualan dengan reka bentuk yang moden, teratur, kemas dan bersih di beberapa lokasi ­strategik di Kuala Lumpur serta turut mengalu-alukan permohonan kemasukan baharu buat usahawan yang berminat.

“Kita berikan ruang dan ­peluang kepada para usahawan untuk menjalankan perniagaan seperti makanan dan minuman, cenderamata, produk francais, food truck dan sebagainya.

“Matlamat utama kami ­adalah untuk merangsang ekonomi negara melalui sektor keusahawanan se­lepas penularan wabak COVID-19 di samping melahirkan lebih ­ramai usahawan muda di ibu kota,” katanya.

Terbaharu, pihaknya baru sahaja menjalankan temu duga bagi mengisi kekosongan kios jualan di tiga lokasi strategik iaitu Jalan Alor, Bukit Bintang; Setapak Jaya dan Taman Pertama, Cheras.

“Sekiranya layak dan berjaya melepasi kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), calon tersebut akan mengisi kekosongan itu,” ujarnya kepada Wilayahku.

Hethir berharap, melalui ­langkah-langkah yang diambil ini, ia akan menjadi permulaan terbaik untuk membantu memasarkan produk usahawan di pasaran tempatan.

“Di samping itu, ­diharapkan Program UMK ini diperluaskan di seluruh lokasi tumpuan sekitar Kuala Lumpur. Sekiranya mana-mana individu mahu mendapatkan keterangan lanjut mengenai Program UMK, boleh layari www.yayasanwp.org atau hubungi pejabat YWP di talian 03-2698 3073,” ­jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas