Artikel

Video disunting undang fitnah, Fahmi Fadzil fail saman?

LAUTAN manusia yang membanjiri konsert kumpulan rock Coldplay, di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.
- Diterbit 1 Disember 2023 12:25 AM MYT

COLDPLAY: “Alhamdulillah, berjalan dengan lancar” – Fahmi Fadzil.

Itu tajuk sebuah video yang tular dalam media sosial seolah-olah memberi pemahaman bahawa Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil bersyukur konsert artis antarabangsa itu berjalan dengan lancar.

Bukan itu sahaja, kandungan dalam video tersebut turut disertakan grafik yang mengandungi wajah menteri itu berlatar belakangkan suasana konsert.

Video tersebut juga telah membuka banyak ruang netizen melemparkan kecaman terhadap Fahmi dikecam di laman sosial antaranya beliau dituduh tidak sensitif dengan penderitaan rakyat Palestin ketika ini.

Fahmi Fadzil berkata ia suatu fitnah dan tuduhan berniat jahat berkaitan penganjuran konsert kumpulan rock Coldplay, di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.

Beliau berkata tuduhan dilemparkan individu itu adalah berdasarkan laporan media mengenai respons beliau berhubung penganjuran konsert berkenaan.

“Tuduhan itu bagi saya bersifat fitnah dan berniat jahat, sebenarnya lari daripada konteks apa yang saya sebut dan jawapan saya kepada seorang wartawan dan jawapan penuh saya boleh didapati di laman sesawang (laporan berita) itu.

“Saya akan minta peguam untuk meneliti semua pihak yang mengeluarkan grafik fitnah ini dan kita akan ambil tindakan undang-undang terhadap mereka, ada pihak dengan motif memesongkan fakta dari kenyataan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berakhir Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Diharapkan selepas ini, jangan pandang ringan tentang perkara yang boleh mendatangkan fitnah atau kebencian melampau kepada individu lain. Berhati-hatilah bila menulis, tak fasal-fasal kena saman.

Mengulas kebarangkalian polemik tercetus sebelum konsert memberi kesan buruk kepada usaha kerajaan menarik lebih ramai artis luar mengadakan konsert di Malaysia, Fahmi optimis perkara itu tidak akan berlaku.

“Selagi garis panduan jelas, tidak ada pembatalan pada saat akhir sebab ada perkara tidak dibincangkan awal.

“Saya tak rasa polemik ini memberi kesan. Tapi, saya percaya dengan kejayaan konsert Coldplay membuktikan bila ada dialog sihat, semua pihak faham tanggungjawab, mencari titik temu, saling memahami, berkompromi serta patuh kepada undang-undang, pasti tidak akan timbul sebarang isu.

“Lagipun, banyak konsert K-Pop datang ke Kuala Lumpur dalam tempoh beberapa minggu, jadi tak ada masalah,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas