Artikel

Dakwaan negatif ID Digital Nasional, PM laksana demi kebaikan

IDN berfungsi dalam mengesahkan identiti pengguna semasa transaksi digital.
- Diterbit 1 Disember 2023 12:20 AM MYT

PENGUMUMAN kerajaan untuk memperkenalkan Identiti Digital Nasional (IDN) dilihat memudahkan keperluan khususnya yang membabitkan urusan dengan pihak kerajaan.

Ia dibangunkan bertujuan mewujudkan suatu platform pengesahan yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta dalam mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi digital.

Bagi merealisasikannya, kerajaan akan menyalurkan peruntukan berjumlah RM80 juta untuk permulaan secepat mungkin dan akan ada peruntukan lain seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

“Pendaftaran ID Digital mesti dilaksana minggu depan. Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Pengarah dan ketua jabatan harus memulakan pendaftaran,” ujar beliau ketika mengadakan lawatan ke MIMOS.

Namun, dalam keterujaan menerima platform baharu tersebut, lain pula yang berlaku apabila ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab mengandaikan ia adalah satu sistem untuk mengawal rakyat.

Maka, tidak sedikit pengguna di laman sosial mempercayai perkara tersebut. Bertebaranlah komen-komen yang meluahkan kebimbangan jika wang dan maklumat peribadi mereka lebih mudah digodam selepas ini.

Tidak terkecuali juga yang menyifatkan kerajaan pada hari ini zalim terhadap rakyat kerana mengawal segala tindak-tanduk mereka.

Sejujurnya terlalu awal untuk sesiapa sahaja menghukum tanpa mengetahui terlebih dahulu secara terperinci fungsi IDN tersebut. Janganlah cepat menuduh tanpa usul periksa. Wilayahku percaya kerajaan akan menerangkan dengan lebih terperinci tentang IDN sikit masa lagi.

PM turut menegaskan IDN tidak akan menggantikan penggunaan dan fungsi MyKad malah, ia adalah nilai tambah dalam memperkukuhkan pelaksanaan dan keselamatan MyKad sedia ada.

Jika kita lihat dalam persepsi yang lebih matang, beliau memandang jauh untuk memperkasakan penyelidikan sains dan teknologi negara selari dengan transformasi digital yang merupakan antara tonggak dalam pendekatan negara MADANI.

Justeru, beliau meminta MIMOS menyediakan latihan dan kurikulum yang dikendali secara langsung oleh agensi tersebut atau kerjasama dengan universiti serta pusat penyelidikan lain.

Dalam masa yang sama, beliau berharap MIMOS dan universiti tempatan dapat mengenal pasti bidang yang perlu diberi latihan agar dapat mempersiapkan tenaga yang cukup terlatih sekali gus melonjakkan latihan antaranya dalam bidang digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas