Biz

Usanita, PERKEP bergabung serlahkan kehebatan wanita

- Diterbit 17 Oktober 2023 12:55 PM MYT

USANITA Sdn Bhd berbesar hati menerima jemputan kolaborasi bersama Persatuan Keluarga Polis Malaysia (PERKEP).

Matlamat dan misi yang dijalankan oleh kedua- dua organisasi ini hampir serupa iaitu dengan mengangkat kehebatan wanita secara umum.

Dari kiri: Datuk Rosyam Nor, Puan Seri Zainah dan Datuk Adzliana pada Majlis HiTea PERKEP Malaysia X Usanita.

Walaupun Usanita sering dikaitkan dengan program yang berbentuk keusahawanan, Usanita kali ini mahu melebarkan sayap dengan lebih lagi dengan perkongsian tentang kesihatan mental dan menjaga kebajikan para wanita.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih pada Puan Seri Zainah Othman selaku Pengerusi PERKEP Malaysia kerana percaya pada Usanita Sdn Bhd untuk bersama-sama menjalin usahasama di bawah payung PERKEP dalam mengejar misi dan visi yang sama.

“Visi yang dimaksudkan itu adalah   membantu wanita membina keyakinan dan saling memberi sokongan antara satu sama lain bagi mencapai kesejahteraan hidup,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Prof Datuk Seri Dr Hasan pada Majlis HiTea PERKEP Malaysia X Usanita yang berlangsung di Four Season, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SERAMAI 200 ahli PERKEP Malaysia dan Usanita yang hadir pada Majlis HiTea PERKEP Malaysia X Usanita.

Majlis ini juga turut dihadiri seramai 200 ahli PERKEP Malaysia dan Usanita juga menampilkan  rakan strategik mereka iaitu Datuk Rosyam Nor, Awal Ashaari dan Zoey Rahman sebagai pengacara majlis serta badan-badan korporat yang terlibat rapat dengan Usanita.

Turut serta pada program ini ialah usahawan Perintis Usanita yang membuka booth jualan produk mereka.

MAJLIS HiTea PERKEP Malaysia X Usanita dihoskan oleh Awal Ashaari dan Zoey Rahman.

Menurut Adzliana lagi, kolaborasi yang terjalin itu memberi inspirasi buat kaum wanita di luar sana.

“Saya percaya gabungan ini akan menjadi inspirasi kepada kaum wanita di Malaysia bukan sahaja dalam kalangan ahli PERKEP bahkan juga oleh lain-lain gabungan dan individu-individu secara keseluruhannya.

“Saya melihat Puan Seri Zainah sebagai Iron Lady kerana tanggungjawab yang digalas oleh beliau amat besar,” jelasnya.

Sementara itu,  Pengerusi PERKEP Malaysia Puan Seri Zainah Othman melihat pelbagai liku dan rintangan yang sering dihadapi oleh para wanita terutama oleh isteri pegawai dan anggota polis.

Untuk itu, beliau terpanggil untuk membantu mereka agar bangkit dan menjadi wanita yang hebat.

Ini kerana,  pada pandangan beliau wanita merupakan insan yang kuat dan bersemangat kental. Mereka ini hanya perlukan sedikit suntikan kesedaran untuk mereka terus maju.

Para isteri anggota dan pegawai PDRM ini adalah tulang belakang kepada keluarga yang akan mendidik anak-anak dan membentuk keluarga, selaras dengan slogan PERKEP iaitu Keluarga Bahagia Pasukan Sejahtera.

“Saya percaya dengan adanya kepakaran dan pengalaman daripada Datuk Adzliana sebagai pemain industri pasti akan memeriahkan lagi pelbagai aktiviti yang akan dirangka bersama Usanita selepas ini.

“Aktiviti selepas ini akan lebih dekat dengan semua wanita yang ingin menceburi bidang keusahawanan dan menjana ekonomi keluarga,” katanya.

Kolaborasi ini akan menjadi satu penanda aras yang baru buat Usanita  untuk sentiasa berikan yang terbaik dalam semua program yang dijalankan dan memastikan objektif yang dirancang akan dicapai dengan jayanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas