Selebriti

Sabri Yunus, Angeline Tan bernikah

- Diterbit 14 Oktober 2023 8:03 AM MYT

PELAKON dan pengarah, Sabri Yunus, 62, selamat bernikah dengan Angeline Tan, 56, pagi tadi.

Gambar pernikahan Sabri Yunus, 62, yang popular dengan watak Wan Ismail Golok dan Pok Ya Cong Codei bernikah dengan Angelina yang terkenal dengan watak Lucy menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu dikongsi melalui media sosial pelakon dan penyampai radio, Issey Fazlisham.

Menerusi dua gambar yang dikongsi Issey itu, dia mengucapkan selamat pengantin baru kepada pasangan itu.

“Selamat pengantin baru Abang Sabri Yunus dan Kak Ardini/ Angelina Tan. Alhamdulillah kami sangat gembira. Semoga cinta Wan Ismail Golok dan Lucy kekal sampai ke syurga. Pi Mai Pi Mai Tang Tu,” tulisnya.

ISSEY bersama Sabri Yunus yang telah selamat bernikah dengan Angeline Tan, pagi tadi.

Pasangan itu dinikahkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza.

Pada majlis ringkas itu, Sabri menyerahkan mas kahwin berupa seutas rantai emas. Pasangan itu tampil menggayakan persalinan sedondon rona putih.

Sabri sebelum ini kehilangan isteri Norraya Mohd Yusuf pada 2007 akibat kanser. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Sementara Angeline pula memiliki dua anak daripada perkahwinan terdahulu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas