Artikel

‘Usah momokan pelajar pada bidang salah’

ZULQARNAIN bersama pelajar-pelajar Quest International University
- Diterbit 20 Disember 2023 7:30 AM MYT

TIDAK dinafikan, ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) masih keliru untuk memilih arah tuju mereka.

Pensyarah Komunikasi dan juga Programme Coordinator di Quest International University, Zulqarnain Abu Hassan, berpendapat bahawa bakal siswa majoritinya tidak cakna dengan objektif menyambung pengajian di peringkat universiti.

“Sepanjang berkhidmat sebagai pensyarah, kebanyakan masa terlibat dalam aktiviti pemasaran di lapangan dan saya dapati tiga perkara yang membimbangkan daripada pelajar.

“Pertama pelajar masih samar ataupun tidak tahu apa yang ingin dikecapi pada masa depan.

“Lebih parah lagi yang keduanya apabila salah bidang kerana stigma bidang tertentu kononnya menjanjikan hasil lumayan.

“Saya berkata demikian kerana majoriti siswa hari ini mendaftar pada bidang tertentu mengikut kesesuaian keputusan dan stigma semata-mata. Ibarat bercinta selepas berkahwin pula,” katanya.

ZULQARNAIN bersama pelajar-pelajar Quest International University
ZULQARNAIN berharap para pelajar lepasan SPM dan STPM diberi pendedahan sebelum melangkah ke alam universiti.

Menurut Zulqarnain, sebagai panduan pelajar lepas SPM atau STPM harus diberikan pendedahan awal tentang jurusan yang bakal diambil mereka sebelum melangkah kaki ke mana-mana institusi pengajian tinggi.

“Wahai pelajar sekalian, tanam dan ingatlah kata-kata dan peribahasa bahawa hasil tidak akan mengkhianati usaha, malah yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang!

“Solusinya, semua pelajar tingkatan perlu menerima pendedahan secara aktif dan holistik dengan pembabitan sesi bersama pakar-pakar daripada semua bidang kerjaya.

“Barulah anda akan lebih jelas untuk membuat persediaan sebelum melangkah masuk ke alam universiti.

“Terakhir dan penting, pelajar juga terlebih dahulu perlu menyelidik latar belakang pensyarah dalam bidang yang hendak dipohon. Bahkan tidak ada salahnya juga untuk berjumpa dan bertanyakan soalan berkaitan.

“Anda boleh nilaikan sendiri pensyarah yang mahir sewajibnya tahu apa yang sedang berlaku di industri dan apakah kemahiran atau pun kualiti agar graduan diambil bekerja,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, kenyataan ini adalah berdasarkan pengamatan penulis dan tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas