Artikel

Diabolo kekal relevan selepas 600 tahun

- Diterbit 15 Disember 2023 3:10 PM MYT

YO-YO Cina atau dikenali sebagai diabolo merupakan salah satu permainan tradisional dari China yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat berbilang kaum.

Diperkenalkan sejak zaman Dinasti Min sekitar tahun 1386, permainan tersebut mula berkembang di negara ini pada tahun 1994. Namun, ketika itu ia hanya dikenali di negeri Selangor sahaja.

Seiring masa berlalu, usaha memperkenalkan permainan tradisional ini dilihat semakin berhasil malah banyak pelapis baharu dikenal pasti sekali gus berjaya mengangkat seni dan budaya warisan ini.

Bercerita lanjut tentangnya, Jurulatih Persatuan Diabolo Malaysia, Sze Kien Chun berkata kebanyakan sekolah rendah Cina dan Sekolah Menengah Cina Persendirian mempunyai latihan sukan diabolo.

“Ia berkembang pesat ke seluruh negara sejak dibawa masuk 20 tahun lalu. Kalau dahulu di Selangor sahaja, kini boleh dikatakan setiap negeri mempunyai kumpulan kecil yang memainkan permainan ini terutamanya di negeri Pantai Timur seperti Pahang dan Terengganu.

“Terdapat banyak jurulatih yang berada di sana untuk mencari pelapis baharu sukan ini. Ia bukan lagi terhad kepada kaum Cina bahkan semua lapisan masyarakat menunjukkan minat luar biasa terhadap permainan tradisional ini.

“Sebagai contoh, baru-baru ini kita telah mengadakan satu pertandingan diabolo di Sabah di mana pelbagai kaum mengambil bahagian dan paling tidak disangka, pemenangnya adalah seorang kanak-kanak perempuan Melayu berusia 10 tahun,” kongsinya kepada Wilayahku.

Mengulas lanjut, Kien Chun berkata biarpun diabolo sama seperti yo-yo namun cara permainannya adalah berbeza.

“Dua cakera sama saiz yang dihubungkan oleh gandar panjang, satu gerakan seli mengangkat dan menjatuhkan dengan menggunakan dua batang di mana setiap satu dipegang dalam satu tangan.

“Ia bagi membolehkan diabolo berputar pada tali yang diikat di antara batang kayu. Fungsi stik kayu tersebut ialah sebagai alat untuk menggerakkan tali nilon mengikut cara yang dihendaki,” ujarnya.

Pemain perlu mengimbanginya daripada terjatuh dan memutarkan diabolo dengan laju untuk melakukan pelbagai aksi yang mengagumkan.

“Diabolo yang ringan mudah digunakan tetapi putarannya mungkin hanya seketika dan kerana itu kebanyakan pemain yang handal akan memilih diabolo berat untuk melakukan pelbagai aksi,” ujarnya ia mudah dipelajari tetapi mengambil masa yang panjang untuk mahir.

Tambahnya, sesetengah diabolo dimasukkan alat yang menghasilkan bunyi apabila dipusingkan dengan laju bagi membolehkan pemainnya mengimbangi kelajuan.

“Tongkatnya masih menggunakan kayu keras sebagai bahan utama dan ada juga yang dibuat daripada aluminium lucite, karbon, logam dan libreglass yang bersifat lebih ringan dan kuat.

“Tongkat logam menawarkan sifat ringan tanpa mengurangkan kekuatan dan merupakan pilihan yang baik bagi mereka yang ingin melakukan high stress whips dan kemahiran lain.

“Sesetengah diabolo mempunyai alur yang dipasang di tepi cakera, alur ini membolehkannya membuat suara bersiul apabila berputar dengan kelajuan tinggi,” terangnya lagi.

TERSENARAI DALAM SUKMA

Melihat kepada trend permainan yang semakin popular, Kien Chun berharap ia akan terus dimainkan terutama oleh golongan anak muda sekali gus menjadi antara sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA).

 

“Besar harapan saya agar ia tidak hanya terhenti di sini. Sukan ini mendidik pemain tentang keberanian dan keyakinan. Malah, dua perkara ini adalah markah paling tinggi yang akan dinilai dalam sebuah persembahan.

“Dari segi kemahiran pula, tiada spesifik teknik yang diperlukan kerana sesiapa sahaja boleh memainkannya namun satu perkara yang unik tentang sukan ini adalah setiap hari ada sahaja kemahiran baharu yang akan dicipta,” ujarnya berharap semua negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu kumpulan pemain diabolo. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas