Artikel

Harapan kini terletak di bahu Dr Dzulkefly

ORANG ramai digalakkan untuk memakai pelitup muka dan mengelak 3C.
- Diterbit 22 Disember 2023 3:20 PM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

KENYATAAN yang dibuat oleh Menteri Kesihatan yang baru dilantik semula, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa kerajaan tidak mempertimbangkan untuk mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran peningkatan kes COVID-19 sekarang melegakan banyak pihak.

Ini kerana kesengsaraan yang dihadapi rakyat dan negara ini ketika PKP sebelum ini masih terasa kesannya sehingga kini. Selain kesengsaraan individu, badan-badan perniagaan yang banyak sengsara sehingga kini. Banyak lagi hotel-hotel yang ditutup ketika PKP masih kekal begitu.

Dr Dzulkefly dalam sidang media pertama beliau selaku Menteri Kesihatan berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melaksanakan lima langkah dan strategi dalam menghadapi peningkatan jangkitan ketika ini.

“Kita (KKM) harap dapat melalui (fasa peningkatan jangkitan ketika ini) tanpa melalui sekatan termasuk PKP yang dilaksana pada awal pandemik dulu.

“Kita dah tak cakap mengenainya (sekatan) atau akan mengulangi PKP. Sebab banyak yang tanya dan banyak kegusaran di situ,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Isnin.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa keadaan semasa penularan COVID-19 masih dalam keadaan terkawal dan tidak membebankan kemudahan kesihatan sedia ada.

Jangkitan COVID-19 menyaksikan peningkatan kepada 20,696 kes dengan 28,375 kes aktif bagi tempoh 10 hingga 16 Disember lalu.

Laporan sama menunjukkan 588 pesakit sedang menerima rawatan di hospital, 22 orang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) manakala 14 kes memerlukan penggunaan ventilator.

Sebelum ini, KKM menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka manakala bagi individu yang menunjukkan gejala dinasihatkan supaya mengelak 3C yang merujuk kawasan sempit, sesak dan bersembang pada jarak dekat.

Ketika Dr Dzulkefly melepaskan jawatan Menteri Kesihatan sebelum ini, COVID-19 sedang menular. Beliau dan pasukan KKM ketika itu sedang mengekang penularan wabak tersebut apabila secara tiba-tiba berlaku peristiwa tebuk atap sehingga menjatuhkan kerajaan ketika itu.

Sehingga kini rakyat masih terasa kesan dari COVID-19. Yang terasa bukan kerana wabak itu sangat tetapi usaha kerajaan yang cuba mengekang wabak itu menimbul kesan yang sangat negatif. Ia berlaku apabila masa yang diambil untuk mengawal wabak itu terlalu panjang dan menghentikan banyak operasi ekonomi rakyat. Ketika negara lain di dunia sudah membuka aktiviti ekonomi, Malaysia masih dalam PKP.

Buat pertama kalinya dalam sejarah negara khasnya umat Melayu, ada antara orang Melayu mengambil tindakan membunuh diri ketika berdepan dengan wabak ini. Ia bertentangan dengan normal dalam kalangan orang Melayu yang beragama Islam bahawa membunuh diri adalah satu perkara yang taboo.

Mereka yang tertekan juga terpaksa mengangkat bendera putih bagi mendapatkan bantuan selepas terputus bekalan khasnya makanan.

Dr Dzulkefly sendiri mengaku, langkah mengenakan PKP yang terlalu panjang menjadi punca utama mengapa sekurang-kurangnya 1,660 orang membunuh diri di negara itu sepanjang PKP lalu.

Dr Dzulkefly berkata demikian dalam wawancaranya dengan laman berita HarapanDaily yang disiarkan 17 Januari lalu.

Selain itu, PKP yang panjang telah dikatakan menjadi alat yang telah disalahgunakan untuk kepentingan sesetengah pihak untuk mencuri dana kerajaan. Ia terbukti selepas kerajaan itu jatuh, banyak yang terdedah kepada masyarakat mengenainya.

“Selepas kerajaan PH dijatuhkan, saya telah dilantik sebagai Pengerusi STFC (Selangor Task Force for COVID-19). Melalui STFC kami telah mengkritik keras PKP yang prolonged (diperpanjangkan) sebegitu.

“Kami lebih mencadangkan PKP yang terfokus dan tegas tetapi bukan begitu. Sebab itu saya bersetuju apabila PKP ini dikatakan tool (alat) yang telah disalah gunakan. Sepatutnya ia dibuat dala jangka masa yang tepat dan pantas dan bukan prolonged,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu dalam wawancara itu.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberitahu Dewan Rakyat, 1,660 orang telah membunuh diri sepanjang PKP yang bermula 18 Mac 2020 hingga 31 Disember 2021.

Sebanyak 638 kes bunuh diri dilaporkan berlaku di negara ini di antara Januari hingga Julai tahun 2021, iaitu peningkatan 143 peratus berbanding tempoh sama tahun 2020.

Kini Dr Dzulkefly sekali lagi diamanahkan untuk menjadi Menteri Kesihatan. Kebetulan pula perlantikan beliau berlaku ketika COVID-19 meningkat kembali di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Kita berharap, dengan pengalaman beliau sebelum ini sebagai Menteri Kesihatan, pengalaman beliau selaku Pengerusi STFC dan pengalaman luas beliau selaku pensyarah perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM) dan pengkaji dan penyelidik mengenai racun, akan dapat membantu rakyat dan negara berhadapan dengan wabak yang menggerunkan seluruh umat manusia ini.

Penulis juga merasai kesan PKP yang prolonged namun bersyukur tidak ada kesan besar mengenainya dan menjalani kehidupan seperti biasa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas