Selebriti

Tun M, Siti Nurhaliza antara 500 Muslim berpengaruh 2022

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tersenarai tujuh kali berturut-turut antara 500 Muslim berpengaruh di dunia.
- Diterbit 12 April 2022 9:09 PM MYT

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 43, tersenarai tujuh kali berturut-turut dalam The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims.

Disenarai sejak 2016, penyanyi lagu Bukan Cinta Biasa itu diletakkan di bawah kategori seni dan budaya sejak tujuh tahun lalu.
Usahawan jenama SimplySiti itu berkongsi rasa syukur menerusi Instagram (IG).

“Syukur kepada-Nya. Tiada lain yang memungkinkan pengiktirafan ini selain Allah.

“Saya terharu dan terinspirasi selama tujuh tahun. Ini kerana menjadi antara 500 umat Islam yang terpilih daripada pelbagai latar belakang, pekerjaan, golongan dan sebagainya.

“Saya hanya insan kerdil yang sentiasa bersyukur dan insya-Allah, ia menjadikan saya seorang yang lebih baik daripada sehari ke sehari,” katanya.

Berdasarkan catatan buku The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims 2022 yang diterbitkan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre, Amman, Jordan itu, Siti tersenarai bersama individu berpengaruh seluruh dunia termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Siti, seorang lagi anak seni Malaysia turut disenaraikan adalah penyanyi nasyid dan komposer, Hafiz Hamidun.

Baru-baru ini, portal The Artist Museum berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat meletakkan Siti pada tangga ke-27 daripada 100 penghibur terkemuka dunia.

Menerusi akaun Twitter @theartistmuseum, Siti pernah menggenggam 329 anugerah dari dalam dan luar negara sepanjang hampir 26 tahun bergelar anak seni.

Siti disenaraikan bersama barisan selebriti antarabangsa seperti Michael Jackson, Beyonce, Taylor Swift, BTS, Justin Bieber, Whitney Houstan, Lady Gaga dan ramai lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas