Berita

Trend pertukaran sektor pelancongan, pendidikan Malaysia-China dijangka pulih

- Diterbit 17 Disember 2020 7:39 AM MYT

DUTA Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin membayangkan trend pertukaran dalam sektor pelancongan dan pendidikan antara Malaysia dengan China akan kembali pulih pada tempoh pasca-COVID-19.

Menurutnya, penularan pandemik tersebut telah merencatkan perkembangan perhubungan rakyat antara dua negara.

Bagaimanapun, katanya menerusi interaksinya bersama dengan pemain industri mendapati kedua-dua sektor itu masih mempunyai permintaan yang tinggi di China.

“Sebelum berlakunya COVID-19, tahun 2019 menyaksikan sebanyak 3.1 juta pelancong China berkunjung ke Malaysia, sementara 15,000 belia China memilih Malaysia sebagai destinasi mereka untuk menyambung pengajian.

“Jelas sekali, jumlahnya turun dengan sangat mendadak pada tahun ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Penghargaan Media, di sini, petang Selasa.

Nushirwan turut meluahkan perasaan gembiranya terhadap perkembangan positif bidang pendidikan, khususnya dalam kursus bahasa Melayu di universiti di China.

Beliau yakin, pihak media kedua-dua negara akan memainkan peranan lebih besar dalam membantu mempromosi bidang tersebut.

“Saya bersyukur dengan perkembangan positif yang banyak dalam bidang (pendidikan) ini, dan gembira melihat minat yang ditunjukkan rakyat tempatan untuk mempelajari bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan kita dan juga budaya Melayu.

“Setakat ini, saya difahamkan terdapat 16 program bahasa Melayu yang ditawarkan oleh universiti-universiti di China,” tambah Nurshirwan.

Turut hadir pada majlis itu antaranya Timbalan Ketua Perwakilan S. Sanmugan dan beberapa pegawai kanan Kedutaan Malaysia di China. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas