Berita

COVID-19 beri penekanan keperluan soal keselamatan makanan

- Diterbit 17 Disember 2020 7:44 AM MYT

KRISIS COVID-19 telah memperlihatkan pelbagai aspek dan saling berkaitan dalam sistem makanan, yang menekankan keperluan untuk memikirkan tentang keselamatan makanan dan dasar pertanian secara lebih luas, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

“Krisis COVID-19 telah memberi penekanan mengenai kepentingan sektor pertanian dan makanan, dan sementara Malaysia masih belum tergolong antara negara paling teruk dilanda wabak namun kehilangan pendapatan isi rumah dan respons terhadap ketidakpastian itu telah menyebabkan turun naik dalam pasaran makanan.

“Dengan memperkukuhkan sistem pertanian, Malaysia juga akan dapat melaksanakan keutamaan negara yang lain, termasuk kemakmuran bersama,” katanya dalam ucapan pada pelancaran ‘Malaysia Economic Monitor: Sowing the Seeds’ yang dihoskan Bank Dunia Malaysia, di sini hari ini.

Menurutnya, memperkenalkan langkah meningkatkan pendapatan petani, mewujudkan pekerjaan berkaitan pertanian serta meningkatkan eksport, bidang pertanian di Malaysia boleh menjadi kukuh dalam berkongsi kemakmuran melalui pengagihan yang lebih baik dengan pertumbuhan yang saksama pada tahap yang berbeza.

Katanya, Malaysia mempunyai potensi besar yang kurang dieksploitasi untuk memenuhi berbagai permintaan ekonomi pertanian moden, baik domestik mahupun serantau.

“Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah peluang bagi Malaysia menunjukkan potensi sektor pertanian secara jelas dan peranan kerajaan dalam memudahkan transformasinya.

“Rrancangan itu sedang dimuktamadkan dan akan dibentangkan tahun depan yang akan memberikan Malaysia bukan sekadar peluang untuk mempertahankan komitmen yang ada tetapi juga untuk melipatgandakan kepercayaan terhadap potensi ekonomi pertanian dan makanan.

Ronald berkata RMK12 juga dapat digunakan sebagai hala tuju mengembangkan sektor ladang pertanian persisian bandar (peri-urban) moden yang dihubungkan dengan logistik yang maju kepada pasaran bandar.

Menurut beliau, Malaysia juga dapat menempatkan diri sebagai pemimpin dalam menyediakan hasil ‘sihat dan selamat’ di rantau ini serta mempunyai lebih banyak pelaburan dalam modal insan yang diperlukan untuk mengubah kompleks makanan pertanian Malaysia.

“Ini termasuk melatih dan menarik generasi usahawan sistem pertanian makanan akan datang melalui pelbagai bidang,” katanya sambil menambah bahawa pada 2019, pertanian menyumbang kira-kira 11 peratus pekerjaan dan 7.1 peratus daripada KDNK Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Ronald berkata kementeriannya mengalu-alukan penerbitan edisi terbaru ‘Malaysia Economic Monitor, Sowing the Seeds’ oleh Bank Dunia itu, yang membolehkan negara melihat lebih dekat bagaimana sektor pertanian Malaysia dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara pasca COVID-19.

“Analisis dan dasar cadangan yang dipaparkan dalam laporan ini dapat memberi maklum balas yang berguna kepada kerajaan Malaysia dalam merumuskan strategi keselamatan makanan serta merangsang produktiviti.

“Melihat ke hadapan, kementerian berharap dapat menjalin kerjasama lebih erat dengan Hab Pertumbuhan Kewangan Mampan dan Inklusif Kumpulan Bank Dunia di Kuala Lumpur,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas