Berita

Timbalan Pengerusi Tetap UMNO meninggal dunia

SEBELUM ini media melaporkan, Datuk Seri Rizuan Ab Hamid dijangkiti COVID-19 dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) PPUM sejak 3 Mei lepas. Gambar - Fail/Bernama
- Diterbit 21 Mei 2021 3:34 AM MYT

TIMBALAN Pengerusi Tetap UMNO Datuk Seri Rizuan Ab Hamid disahkan meninggal dunia malam tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi catatan di Facebooknya mengesahkan pemergian Ketua UMNO Bahagian Kepong itu.

“Bersama kita mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama para syuhada dan para solihin,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Rizuan disahkan dijangkiti COVID-19 selepas menjalani saringan pada 1 Mei lepas dan dirawat di Unit Rawatan Rapi PPUM sejak 3 Mei lepas manakala isterinya Tan Sri Madinah Mohamad iaitu bekas Ketua Audit Negara dilapor turut dirawat di ICU pusat perubatan sama.

Sementara itu Naib Ketua UMNO Bahagian Kepong Abdul Razak Abdul Rahman berkata Allahyarham disahkan meninggal dunia pada pukul 10.53 malam tadi, dan jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Raudhatul Sakinah di Kepong.

Beliau menyifatkan Rizuan sebagai seorang ahli politik lama yang berpengalaman dan seorang ahli agama.

“Banyak jasanya untuk orang Kepong. Lebih 30 tahun beliau berkhidmat sebagai Ketua Bahagian dan merupakan antara ketua bahagian paling lama di Malaysia,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas