Berita

Palestin sambut ‘kemenangan’ dengan takbir raya

PENDUDUK Palestin meraikan kemenangan selepas pertempuran 11 hari oleh Israel berlaku di semenanjung Gaza
- Diterbit 21 Mei 2021 4:07 AM MYT

PENDUDUK Palestin hari ini keluar beramai-ramai meraikan genjatan senjata yang sekaligus dianggap kemenangan melawan Israel.

Genjatan senjata yang berkuatkuasa pukul 7.00 pagi waktu Malaysia itu membolehkan orang ramai berarak di jalanan sambil bertakbir raya.

Genjatan senjata itu menyaksikan Israel berundur dari Baitul Maqdis Timur (Masjid Al Aqsa) dan Shaikh Al Jarrah yang menjadi punca perang 11 hari ini.

Israel dan pejuang Hamas, mengumumkan gencatan senjata pada Jumaat selepas pertempuran selama 11 hari yang menyaksikan serangan berterusan di Semenanjung Gaza.

Usaha itu selepas inisiatif yang ditaja Mesir dan turut membabitkan kumpulan pejuang kedua paling berkuasa di Gaza, Islamic Jihad.

Rejim Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza, sejak 10 Mei lalu, selepas pejuang Hamas melancarkan roket ke arah wilayah dikuasai Israel.

Ia selepas Hamas memberi kata dua kepada Israel untuk mengundurkan pasukan keselamatannya yang bertempur dengan penunjuk perasaan warga Palestin di Masjid al-Aqsa.

Penunjuk perasaan terbabit sebelum itu berhimpun di masjid berkenaan untuk menyatakan bantahan terhadap kekejaman rejim zionis mengusir keluarga Palestin dari rumah mereka di Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis.

Serangan rejim zionis di Semenanjung Gaza menyebabkan 232 rakyat Palestin maut, termasuk 65 kanak-kanak, manakala 1,900 lagi cedera.

Selain itu, ia memusnahkan beberapa bangunan termasuk yang menempatkan pejabat agensi media antarabangsa Al-Jazeera dan Associated Press.

Serangan udara itu turut menyebabkan satu-satunya makmal Covid-19 di Semenanjung Gaza, wilayah yang dikenakan sekatan oleh Israel, tidak dapat beroperasi.

Menurut pihak berkuasa Hamas, konflik itu menyebabkan 120,000 penduduk Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka untuk mencari perlindungan.

Di pihak Israel, serangan roket Hamas menyebabkan 12 orang maut termasuk dua kanak-kanak dan seorang askarnya selain seorang rakyat India dan dua warga Thailand, menurut polis.

Malaysia antara sebahagian negara di dunia yang mengecam tindakan Israel dan menyatakan solidariti terhadap Palestin.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas