Berita

TIGA anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang direman

- Diterbit 16 Mac 2021 9:10 AM MYT

TIGA anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret George Town, Muhammad Azam Md. Eusoff di sini kira-kira 11.15 pagi tadi bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

Ketiga-tiga lelaki itu yang berumur 39 hingga 43 tahun ditahan semalam selepas dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal.

Menurut sumber, antara modus operandi yang dikesan ialah pegawai berkenaan tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang telah melakukan kesalahan jalan raya setelah menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi atau proksi secara bulanan.

Terdahulu, ketiga-tiga anggota penguat kuasa JPJ itu tiba ke mahkamah kira-kira pukul 10.30 pagi dengan berpakaian lokap SPRM. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas